SHAH ALAM, 30 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) belum memutuskan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya bagaimanapun akan melihat peluang dan kemungkinan kerjasama sebelum keputusan mengenai langkah seterusnya dimuktamadkan.
“Kita akan cuba melihat peluang kalau ada kemungkinan untuk kerjasama tetapi kalau tak ada pun kita kena juga melengkapkan usaha untuk meneruskan usaha membuat tawaran yang terbaik kepada rakyat Melaka daripada HARAPAN.
“Saya dah mendengar pandangan daripada HARAPAN Melaka dan saya perlu muktamadkannya kepada Majlis Pimpinan Pusat supaya kita boleh buat keputusan dasar untuk meneruskan langkah seterusnya sama ada kita bertanding dengan persefahaman dengan beberapa pihak atau pun fokus kepada kawasan kita,” katanya.
Beliau ditemui pada pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.
Amirudin menjelaskan, beliau juga difahamkan terdapat pertemuan dengan Barisan Nasional dalam masa terdekat untuk melihat sekiranya ada ruangan yang boleh diteroka.
“Kalau tidak ada maknanya kita akan teruskan…kita cuba lihat dan akan pertimbangkan untuk kerjasama.
“Strategi penting kepada HARAPAN adalah memaksimumkan potensi di kawasan kita, cuba mengelak sebarang pertembungan yang tidak diperlukan dan beri tawaran terbaik kepada rakyat di Melaka,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan PRN Melaka ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
Jelasnya, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh penting PRN Melaka termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.








