MPAJ teliti rumah sampah bertutup, lokasi baharu Kampung Kemensah

30 Sep 2026, 3:29 AM
MPAJ teliti rumah sampah bertutup, lokasi baharu Kampung Kemensah
MPAJ teliti rumah sampah bertutup, lokasi baharu Kampung Kemensah

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang meneliti cadangan menyediakan rumah sampah bertutup serta lokasi baharu bagi kemudahan pembuangan sampah di Kampung Kemensah, Ampang Jaya.

MPAJ menerusi Facebook memaklumkan cadangan itu dibincangkan susulan lawatan tapak bagi meninjau keadaan semasa kemudahan berkenaan dan mengenal pasti tindakan penambahbaikan yang sesuai.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah cadangan penyediaan rumah sampah bertutup yang lebih sempurna dan bersesuaian selain mengenal pasti lokasi baharu yang lebih sesuai bagi penempatan kemudahan pembuangan sampah,” menurut hantaran itu.

MPAJ berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan pengurusan sisa di kawasan tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan sistematik.

Menurutnya, penambahbaikan itu juga diharap dapat meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan persekitaran setempat.

Lawatan berkenaan disertai Ahli Majlis MPAJ JKP Zon 2, Syed Ali Syed Harun Al-Idris, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan, Khairilazhar Ismail serta wakil KDEB Waste Management (KDEBWM).

Turut hadir Ketua Kampung Kemensah dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan.

MPAJ memaklumkan aspek kebersihan serta pengurusan sisa akan terus diberi perhatian bagi memastikan persekitaran komuniti kekal bersih, teratur dan selamat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.