SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak 33 kawasan di sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pagi ini dengan Johan Setia, Selangor mencatat bacaan tertinggi 176.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Cheras di Kuala Lumpur merekodkan bacaan kedua tertinggi iaitu 173, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (171) dan Shah Alam (170).
Turut mencatat bacaan tinggi ialah Pasir Gudang, Johor (169), Batu Muda, Kuala Lumpur (166), Putrajaya dan Larkin, Johor masing-masing 165 serta Seremban (164).
Klang, Indera Mahkota dan Balok Baru di Kuantan pula masing-masing merekodkan IPU 163.
Di Selangor, selain Johan Setia dan Shah Alam, bacaan tidak sihat turut direkodkan di Petaling Jaya (161), Banting (160) dan Kuala Selangor (154).
Johor antara negeri yang merekodkan banyak kawasan terjejas dengan Pasir Gudang mencatat IPU 169, diikuti Larkin (165), Kota Tinggi (160), Pengerang (155), Batu Pahat (154), Tangkak (152), Kluang (131) dan Segamat (115).
Di Melaka, Bandaraya Melaka merekodkan bacaan 160, Bukit Rambai (156) dan Alor Gajah (136).
Kuala Terengganu pula mencatat IPU 157, manakala Kemaman dan Paka masing-masing merekodkan 154 dan 152.
Di Pahang, Rompin mencatat bacaan 152 dan Jerantut 132 selain Indera Mahkota serta Balok Baru di Kuantan yang masing-masing merekodkan 163.
Sementara itu, Seri Manjung di Perak mencatat IPU 154, Tanjung Malim (146) manakala IPD Serian di Sarawak merekodkan 140.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan khususnya kepada golongan sensitif termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung.
Orang ramai disaran mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terbuka serta mengikuti perkembangan kualiti udara menerusi laman sesawang APIMS.






