SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan Selangor akan meneliti semula kaedah penanaman padi dan sistem infrastruktur berkaitan bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil tanaman tersebut tahun depan.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata langkah tersebut perlu kerana hasil tanaman padi ketika ini masih rendah meskipun kerajaan menyalurkan pelbagai dana, subsidi dan insentif.
“Jadi kita akan tengok dan teliti semula penyusunannya termasuk sistem-sistem infra. Kena keluarkan belanja sebab dah berpuluh tahun, banyak rosak.
“Sistem pembentungan, parit dan sebagainya. Kena betulkan supaya kita dapat satu kaedah yang lebih baik dalam mengurus penanaman padi,” katanya kepada Media Selangor.
Pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor minggu lalu, Izham berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemutihan tanah sawah di Barat Laut Selangor bagi mendapatkan gambaran sebenar status tanah kawasan tersebut sebelum merangka langkah penambahbaikan sektor padi.
Beliau berkata usaha tersebut penting bagi mengenal pasti tanah yang masih diusahakan sebagai sawah, digunakan untuk tanaman lain atau telah dibangunkan bagi kegunaan berbeza.
Jelasnya, pendekatan ‘revolusi sawah’ perlu melibatkan perubahan menyeluruh terhadap struktur dan pelaksanaan sektor berkenaan dengan mengambil kira penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang.
Ujar Izham, usaha itu memerlukan kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan kerana sebahagian besar perkara berkaitan pembangunan sektor padi berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Dalam program libat urus belanjawan itu juga, Izham menegaskan insentif untuk untuk pesawah terus ditambah baik dengan pendekatan berasaskan hasil bagi meningkatkan produktiviti
Katanya, pendekatan tersebut memberi ganjaran selepas hasil ditentukan, berbanding bantuan yang diberikan pada peringkat awal pengeluaran.







