Lebih 2,000 pesakit terima bantuan rawatan jantung sehingga RM50,000

29 Sep 2026, 12:00 PM
Lebih 2,000 pesakit terima bantuan rawatan jantung sehingga RM50,000

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 2,305 pesakit menerima manfaat pembiayaan Skim Rawatan Jantung Selangor (SRJS) sepanjang 2018 hingga 31 Ogos lalu, sekali gus membolehkan mereka mendapat rawatan berkualiti tanpa dibebani kos tinggi.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 182 pesakit dibantu sepanjang tahun ini, melibatkan RM5 juta yang diperuntuk bagi memastjkan rakyat mendapat akses kepada rawatan jantung berkualiti.

“Melalui SRJS, bantuan kewangan sehingga RM50,000 disediakan bagi menampung kos rawatan intervensi kardiologi dan pembedahan jantung di hospital panel terpilih.

“Antaranya seperti Institut Jantung Negara (IJN), Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Hospital Sunway dan Hospital UiTM Puncak Alam.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada pesakit mendapatkan rawatan peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serius, kecacatan kekal serta kematian akibat penyakit jantung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata skim diperkenalkan pada 2018 itu merupakan inisiatif penjagaan kesihatan awam memfokuskan kepada rawatan penyakit jantung kritikal khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Skim ini menyasarkan isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM8,000. Matlamatnya mahu pastikan akses rawatan berkualiti dapat dinikmati secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang ekonomi,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Jantung Sedunia hari ini, Jamaliah mengingatkan rakyat agar tidak mengabaikan kesihatan jantung dan melakukan saringan kesihatan terutama individu berisiko atau mengalami gejala berkaitan.

Menurutnya, selain menawarkan rawatan, SRJS turut menekankan aspek pencegahan melalui penganjuran program saringan kesihatan percuma dari semasa ke semasa.

“Program ini membolehkan pengesanan awal risiko penyakit jantung dalam kalangan rakyat, seterusnya membolehkan intervensi dilaksanakan sebelum keadaan lebih serius.

“Kerajaan Negeri percaya usaha ini dapat menyelamatkan nyawa serta meningkatkan kualiti hidupmasyarakat. Sehubungan itu, rakyat Selangor yang layak digalakkan untuk memanfaatkan skim ini dan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.