Ribuan jemaah sertai solat jenazah Tun Dr Siti Hasmah

28 Sep 2026, 9:52 AM
Ribuan jemaah sertai solat jenazah Tun Dr Siti Hasmah
Ribuan jemaah sertai solat jenazah Tun Dr Siti Hasmah

SERI KEMBANGAN, 28 SEPT: Lebih 2,000 jemaah di Masjid As-Syarif turut serta bagi menunaikan solat jenazah untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada jam 5.15 petang tadi.

Solat jenazah dipimpin oleh imam Masjid As-Syarif, Danial Hussan bersama seorang lagi wakil ekoran solat yang berlangsung sebanyak dua sesi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail antara jemaah yang turut serta menunaikan solat jenazah berkenaan.

Terdahulu, situasi di Masjid As-Syarif tidak putus-putus dengan kehadiran orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk hadir memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu kemudian terus dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada jam 5.20 petang untuk proses pengebumian.

Difahamkan, jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan disemadikan bersebelahan pusara Datin Seri Endon Mahmood.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) susulan keputusan keluarga untuk mengebumikan Allahyarham di Pusara Negara.

Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dan meninggalkan seramai tujuh orang anak serta ahli keluarga lain.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.