SERI KEMBANGAN, 28 SEPT: Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Masjid As-Syarif di sini, sekitar jam 2.50 petang tadi.
Difahamkan, jenazah Tun Dr Siti Hasmah terlebih dahulu akan dimandikan dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke ruangan dewan solat bagi memberi ruang kepada sesi penghormatan terakhir.
Berdasarkan jadual pergerakan, jenazah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan disolatkan selepas Asar sebelum dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya untuk disemadikan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kerajaan telah memutuskan untuk memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.
Masjid As-Syarif mula dibanjiri orang ramai seawal jam 1 tengah hari termasuk beberapa individu kenamaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Perkarangan Masjid As-Syarif terus diselubungi suasana hiba apabila sosok tubuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut kelihatan mengiringi jenazah isteri tersayang meskipun kelihatan agak uzur.
Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun pagi tadi di Insitut Jantung negara (IJN).








