Tun Dr Siti Hasmah dikebumi bersebelahan pusara Tun Endon di Putrajaya

28 Sep 2026, 8:51 AM
Tun Dr Siti Hasmah dikebumi bersebelahan pusara Tun Endon di Putrajaya

SHAH ALAM, 28 SEPT: Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan dikebumikan di sebelah pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood di Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat susulan persetujuan keluarga Allahyarham, lapor Berita Harian.

Beliau berkata kerajaan turut mengarahkan persiapan dilaksanakan bagi memastikan Dr Siti Hasmah diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

“Kerajaan sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk memastikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara diberikan kepada Dr Siti Hasmah.

“Susulan keputusan keluarga, jenazah Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya,” katanya kepada media hari ini.

Fahmi berkata Sekretariat Persekutuan bagi Istiadat, Persidangan dan Hubungan Antarabangsa (BIUPA) turut memaklumkan bahawa lokasi pengebumian Allahyarham adalah bersebelahan pusara Tun Endon.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Dr Siti Hasmah diberikan penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara.

Beliau berkata negara akan terus mengenang jasa Allahyarham yang disifatkan sebagai sosok keibuan dan banyak menabur bakti sepanjang hayatnya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.