SHAH ALAM, 28 OKT: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa meninggalkan majlis tahlil Allahyarhamah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selepas mengadu tidak sihat, hari ini.
Kejadian berlaku sebelum majlis bermula di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya apabila Dr Mahathir dilihat seperti menahan kesakitan sambil melambaikan tangan kepada tetamu sebelum pulang ke kediamannya.
Menurut tetamu yang hadir, keadaan beliau mengejutkan hadirin yang berada di lokasi.
"Dr Mahathir dilihat dikerumuni rakan-rakan artis dan tetamu yang hadir ketika beliau hendak meninggalkan lokasi majlis. Perkembangan itu berlaku sebelum majlis bermula, sekali gus mengejutkan tetamu," katanya seperti dilapor BH.
Bagaimanapun, majlis tahlil diteruskan seperti dirancang dengan kehadiran anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mewakili beliau.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yasin, diikuti tahlil dan doa selamat.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun.
Jenazah Allahyarhamah disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari sama dengan penuh istiadat pengebumian pembesar negara.
Allahyarhamah dikenang sebagai antara doktor wanita Melayu terawal negara yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan, khususnya penjagaan ibu dan kanak-kanak.







