NutriSel bantu 7,213 murid di 78 sekolah Subang Jaya

28 Sep 2026, 3:30 AM
NutriSel bantu 7,213 murid di 78 sekolah Subang Jaya
NutriSel bantu 7,213 murid di 78 sekolah Subang Jaya

SUBANG JAYA, 28 SEPT: Seramai 7,213 murid daripada 78 sekolah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima manfaat menerusi Program Nutrisi Selangor (NutriSel) tahun ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata program berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah, malah menyokong keupayaan murid untuk memberikan tumpuan terhadap pembelajaran.

“Saya juga berharap pembelajaran dan perkembangan mereka dapat diteruskan dalam keadaan sebaik mungkin,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan simbolik Program NutriSel di SMK Puchong baru-baru ini, lapor The Star.

Program yang berlangsung dari Ogos hingga Oktober itu menyediakan bantuan pemakanan kepada murid sekolah rendah dan menengah daripada keluarga B40 yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Keutamaan diberikan kepada murid yang tidak menerima manfaat menerusi Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Di SMK Puchong, seramai 322 daripada keseluruhan 1,796 murid sesi pagi dan petang menerima makanan menerusi inisiatif berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM14.4 juta bagi pelaksanaan NutriSel tahun ini, membabitkan 962 sekolah terpilih serta memberi manfaat kepada kira-kira 106,000 murid di seluruh Selangor.

NutriSel merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dan dilaksanakan secara bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Program itu turut menyokong Pelan Strategik MBSJ 2026–2030 yang antara lain memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti dan membangunkan modal insan.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yusaini Salleh.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.