KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Kedudukan Malaysia sebagai antara hab industri halal terus menarik minat pemain antarabangsa apabila syarikat dari Rusia, Libya dan Jepun melihat potensi besar mengembangkan produk masing-masing ke pasaran tempatan.
Pengurus Eksport dari Rusia, Evgeni Kashin berkata Malaysia berada dalam senarai pasaran yang mahu diterokai syarikatnya selepas berjaya mengeksport produk ke 25 negara sepanjang 12 tahun beroperasi.
“Rusia mempunyai populasi Muslim yang besar, jadi kami melihat potensi industri halal bukan hanya tertumpu di Timur Tengah.
“Malaysia pula antara pasaran halal terbesar dan ekonominya semakin berkembang, sebab itu negara ini berada dalam senarai pasaran yang mahu kami terokai,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Evgeni berkata penyertaan dalam MIHAS didorong reputasi pameran berkenaan sebagai antara acara halal terbesar, selain pengalamannya mengembara ke pelbagai negara bagi meneroka peluang pasaran baharu.
Sementara itu, Pengarah Epic Tips Global dari Libya Dr Zaki Algadhi berkata, penyertaan pertamanya dalam MIHAS membuka ruang kepada negara lebih kecil untuk turut mengambil bahagian dalam perkembangan sektor halal global.
“MIHAS antara pameran halal bertaraf tinggi di dunia. Kami mahu menunjukkan Libya juga mempunyai produk berkualiti dan terdapat potensi besar sekiranya sektor halal dikembangkan untuk memasuki negara lain,” katanya.
Menurutnya, penyertaan itu turut membuahkan hasil apabila pihaknya menerima permintaan tinggi terhadap produk kurma khususnya menjelang Ramadan tahun hadapan.

Pengerusi Libyan-Malaysian Joint Business Chamber (LMBC) Hazizah Awang pula berkata MIHAS menjadi antara platform penting kepada pemain industri Libya untuk memahami konsep dan ekosistem halal secara lebih menyeluruh.
“Majoriti penduduk Libya beragama Islam tetapi kefahaman mengenai sistem halal masih kurang, bukan sahaja dalam makanan tetapi termasuk sektor seperti perbankan.
“Jadi MIHAS 2026 menjadi antara tempat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai halal, selain kita berharap dapat meningkatkan kerjasama antara ahli perniagaan Malaysia dan Libya,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu juga berpotensi membuka akses lebih luas memandangkan Libya boleh menjadi antara pintu masuk untuk meneroka pasaran di rantau Afrika.

Bagi Pengasas Halnip Inc dari Jepun, Hiroki Imano berkata penyertaan sulungnya dalam MIHAS 2026 pula menjadi langkah awal sebelum merancang menubuhkan syarikat di Malaysia tahun depan bagi membawa produk wangian ke pasaran halal.
“Industri halal semakin berkembang dan bagi kami, pasaran Malaysia sangat menarik. Kami merancang membawa minyak pati dari Jepun ke pasaran Malaysia.
“Di MIHAS memang terdapat banyak syarikat makanan tetapi halal sebenarnya mempunyai skop yang luas seperti pakaian, kosmetik dan wangian ,” katanya.










