KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 menjadi platform strategik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memperkenalkan produk serta meneroka peluang menembusi pasaran eksport.
Pengurus Pemasaran Bubbles o2 Sdn Bhd Amirah Farhana Amir berkata penyertaan dalam MIHAS sejak 2022 membantu syarikat berkembang daripada penyertaan secara kecil-kecilan sehingga mampu membuka pavilion sendiri tahun ini.
“MIHAS sangat bagus untuk kita mendapatkan pasaran eksport produk dan pengeluar. Kita sentiasa sasarkan jualan berganda berbanding tahun sebelumnya.

“Sekarang produk kita iaitu air Bubbles o2 sudah dieksport ke Brunei, Indonesia, Arab Saudi dan Dubai dan kita menyasarkan mana-mana pasaran yang berpotensi selepas ini,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Amirah, penyertaan kali ini turut menjadi peluang untuk memperkenalkan produk keluaran Malaysia sehingga ke peringkat global.
Sementara itu, Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan Amber Sri Resources Sdn Bhd, B Kogylah berkata, syarikat yang mempunyai kilang di Pelabuhan Klang itu turut melihat MIHAS sebagai ruang untuk mengembangkan pasaran khususnya ke luar negara.
Menurutnya, syarikat berkenaan yang sudah berada dalam pasaran selama 10 tahun kini membekalkan minyak masak ke beberapa negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Ghana dan Nigeria.

“Kita buka reruai di MIHAS sebab mahu mengembangkan perniagaan termasuk di luar negara. Kita turut menawarkan perkhidmatan pengeluar peralatan asal (OEM) kepada pihak yang berminat untuk menggunakan penjenamaan sendiri,” katanya.
Manakala, bagi Eksekutif Pemasaran BS Global Manufacturing (M) Sdn Bhd, Khairul Hisyam Kamaruddin pula, penyertaan dalam MIHAS membantu syarikat menilai potensi pasaran yang boleh diterokai untuk produk keluarannya.
Syarikat yang mempunyai kilang di Bangi itu merupakan antara usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mengeluarkan produk air coklat dan minuman kecergasan beroperasi sejak 2020.

“PKNS beri peluang kepada kita untuk bawa produk ke luar negara. Setakat ini kita sudah berjaya eksport sehingga ke Brunei, Singapura dan Indonesia manakala sasaran seterusnya adalah Thailand.
“Ini tahun kedua kita menyertai MIHAS dan bagi saya pameran halal sebegini membolehkan kita meneroka sejauh mana pasaran kita boleh pergi,” katanya.
MIHAS 2026 berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 hingga 26 September, membabitkan penyertaan 1,700 syarikat dengan 2,400 reruai serta dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 45 negara.
Acara itu dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaras oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).









