MIHAS pacu produk tempatan berkembang ke pasaran global

28 Sep 2026, 4:00 AM
MIHAS pacu produk tempatan berkembang ke pasaran global
MIHAS pacu produk tempatan berkembang ke pasaran global
MIHAS pacu produk tempatan berkembang ke pasaran global
MIHAS pacu produk tempatan berkembang ke pasaran global

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing kepada pembeli antarabangsa, termasuk dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat.

Pengasas The Rattan House, Hannah Hang berkata penyertaannya dalam pameran itu memberi ruang mengetengahkan produk berasaskan rotan yang dihasilkan masyarakat Penan di Sarawak kepada pasaran lebih luas.

Menurutnya, minat terhadap seni 'decoupage' membawa beliau mengenali beg rotan hasil pertukangan masyarakat Penan sebelum mendorongnya memperkenalkan produk berkenaan kepada lebih ramai pengguna.

“Semasa mencari bahan asas untuk kraf tersebut, saya tertarik dengan hasil pertukangan wanita komuniti Penan dari Sarawak. Disebabkan minat yang mendalam terhadap kraf, kesemua produk di sini dihasilkan sepenuhnya secara buatan tangan.

"Saya amat menghargai nilai seni ini dan pada masa sama, mahu mengajak orang ramai menikmati produk mesra alam.

Pengasas The Rattan House, Hannah Hang ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 27 September 2026.

"Slogan kami 'Gaya Hidup Mampan Bermula Di Sini', mencerminkan komitmen kami terhadap ekosistem yang memperkasa komuniti serta memelihara bumi," katanya ketika ditemui Media Selangor pada hari terakhir MIHAS 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Hannah berkata perniagaan kraftangan dan perabot itu bermula kira-kira lima tahun lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas minatnya terhadap seni kraf berkembang kepada penerokaan produk rotan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MummyRQ Jazneeda Mohd Jamil berkata, MIHAS berjaya membuka akses kepada pembeli dari Hong Kong, Sepanyol dan Amerika Syarikat bagi produk keluarannya.

Beliau berkata jenama Groomy bermula dari rumah pada 2016 susulan pilihan makanan bayi yang terhad di pasaran sebelum berkembang sehingga memperoleh pensijilan halal dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Ketua Pegawai Eksekutif MummyRQ Jazneeda Mohd Jamil ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 27 September 2026.

“MIHAS tahun ini sangat berkualiti, sangat membantu untuk membawa produk tempatan ke luar negara,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Charms Nur Bashirah Hussin penyertaan sebagai pempamer tahun ini menjadi langkah seterusnya bagi syarikat kosmetik yang sudah 15 tahun berada dalam industri untuk mengembangkan pasaran merentasi sempadan.

Menurutnya, reruai Charms menerima kunjungan antaranya dari Qatar, Arab Saudi, Dubai dan Pakistan, sekali gus memberi peluang kepada bakal pembeli luar negara mencuba sendiri produk ditawarkan berbanding hanya melihatnya secara dalam talian.

“Malaysia mempunyai keupayaan untuk membawa produk kita ke luar negara walaupun bukan semuanya berasaskan teknologi canggih, tetapi ada permintaan yang masih lagi belum dipenuhi dan kita mahu buktikan Malaysia mampu memenuhi permintaan tersebut,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Charms Nur Bashirah Hussin ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 27 September 2026.

Penganjuran MIHAS tahun ini memperkenalkan Women Exporters Exchange (WiEX), platform yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan pengeksport wanita termasuk membantu mereka menyesuaikan diri, meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Inisiatif berkenaan turut melengkapi peranan MIHAS sebagai platform menghubungkan usahawan tempatan dengan pemain industri serta pembeli antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak produk Malaysia untuk terus meneroka pasaran global.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.