KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Ekosistem halal yang ditampilkan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 kini melangkaui makanan dan minuman, dengan pengunjung turut meneroka teknologi, perkhidmatan serta peluang jaringan perniagaan.
Penolong Pengurus Mas Awana, Jasah Yusup berkata beliau kerap menghadiri MIHAS bagi pihak syarikat untuk mencari pelanggan berpotensi selain memperluas jaringan dalam industri.
“Kita memang kerap datang ke MIHAS sebab syarikat hantar untuk cari pelanggan berpotensi. Kami merupakan syarikat pengeluar makanan dan minuman yang disediakan dalam penerbangan.
“Jaringan di sini memang meluas kerana semuanya berada di satu tempat. Walaupun setahun sekali (MIHAS) dianjurkan ia cukup membantu kita terokai peluang perniagaan,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, pengunjung dari Bangi, Muhamad Syahmi Syahiran Abdul Razak, 28, berkata kunjungannya kali ini bertujuan meneroka pelbagai produk halal yang ditawarkan.
Menurutnya, konsep halal yang diketengahkan MIHAS tidak terhad kepada sektor makanan dan minuman, sebaliknya turut meliputi bidang digital dan teknologi.
“Bagi saya, ekosistem halal ini lebih meluas, bukan hanya makanan dan minuman tetapi daripada segi digital dan teknologi pun ada aspek halal yang boleh diterokai.
"Saya harap MIHAS sentiasa dianjurkan kerana kesedaran terhadap benda yang halal ini amat penting,” katanya.

Bagi wakil 3thirds Inc, Azizi Daniel Hakime, kunjungan pertamanya ke MIHAS memberi peluang melihat perkembangan syarikat baharu serta perusahaan yang semakin berkembang.
Menurutnya, beliau hadir sejak jam 10 pagi dengan tujuan mencari rakan strategik dalam bidang pemasaran.
“Ini kali pertama saya datang dan saya nampak banyak syarikat baharu serta syarikat yang sudah berkembang.
“MIHAS merupakan platform yang sangat baik untuk jaringan perniagaan, terutama untuk mencari rakan strategik dalam pemasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kenanga Investor Berhad, Maisya Md Nor berkata penyertaan di MIHAS memberi pendedahan luas terhadap produk halal dari pelbagai negara.
Katanya, selain peluang perniagaan, beliau turut tertarik dengan kepelbagaian makanan halal yang dipamerkan sepanjang acara itu.
“Ini kali pertama saya datang ke MIHAS. Pendedahan yang diberikan memang bagus dan banyak makanan halal dari pelbagai negara yang menarik,” katanya.
MIHAS 2026 berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 hingga 26 September, membabitkan penyertaan 1,700 syarikat dengan 2,400 reruai serta dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 45 negara.
Acara itu dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaras Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).










