161.3 kilogram sampah dikutip dalam program bersih Pantai Morib Baru

27 Sep 2026, 2:00 PM
161.3 kilogram sampah dikutip dalam program bersih Pantai Morib Baru
161.3 kilogram sampah dikutip dalam program bersih Pantai Morib Baru
161.3 kilogram sampah dikutip dalam program bersih Pantai Morib Baru
161.3 kilogram sampah dikutip dalam program bersih Pantai Morib Baru

SHAH ALAM, 27 SEPT: Sebanyak 161.3 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi Program Pembersihan Pantai Bersepadu di Pantai Morib Baru di sini, hari ini.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan program sempena Sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa (International Coastal Clean Up) Ocean Conservancy 2026 itu disertai oleh 200 peserta.

“Hasil usaha gigih para peserta, sebanyak 161.3kg keseluruhan sampah berjaya dikutip.

“Bagi memastikan pengurusan data sisa yang bersistematik, catatan kutipan sampah dilaksanakan menggunakan aplikasi CleanSwell (Reef Check Malaysia),” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Program tersebut melibatkan kakitangan sektor awam dan swasta, persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Aktiviti utama dalam program tersebut merangkumi pembersihan pantai selain pertandingan ‘Sampah Siapa Paling Berat’ sebagai antara usaha menggalakkan penglibatan peserta dalam menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai.

Program turut disertai Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah bersama wakil komuniti, ketua jabatan serta warga kerja MPKL.

Menurut MPKL, inisiatif itu selaras dengan pelan tindakan di bawah Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor dan dilaksanakan secara konsisten setiap tahun sejak 2017.

“Melalui penglibatan orang awam, khususnya golongan remaja dan kanak-kanak, program ini memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam memelihara pesisiran pantai,” katanya.

Usaha berkenaan juga turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) merangkumi kepada perubahan iklim, hidupan di air dan darat serta perkongsian untuk matlamat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.