KUALA LANGAT, 20 SEPT: Seramai 11 kakitangan Media Selangor Sdn Bhd menyertai sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa dan Penanaman Pokok di Pantai Morib di sini, hari ini.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) itu turut disertai sukarelawan dari beberapa agensi lain dengan aktiviti menanam pokok dan mengutip sampah.

Dalam program yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya, kumpulan Media Selangor berjaya mengumpulkan lebih 24 kilogram (kg) sisa sampah pantai.
Program berkenaan disempurnakan Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah yang diiringi Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat Tengku Mohamed Tengku Harun.

Tengku Zatashah yang juga aktivis alam sekitar dan pengasas kempen #sayno2plastic berjaya mengumpulkan lebih 10kg sampah yang disifatkan sebagai pencapaian terbaiknya tahun ini.
Sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa merupakan hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ocean Conservancy yang diraikan pada setiap September.