SEPANG, 4 OKT: Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) mahu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengenali, mencuba dan menyertai sukan polo serta ekuestrian, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Presidennya, Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail berkata RSPEC bukan kelab keahlian eksklusif semata-mata, sebaliknya sebuah kelab awam yang mahu menjadi jambatan antara masyarakat dengan dunia polo dan ekuestrian.
“Melangkah ke hadapan, RSPEC akan memperluaskan penganjuran program sukan, pendidikan dan komuniti bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang, khususnya generasi muda, untuk mengenali, mencuba dan menyertai sukan polo serta ekuestrian.
“Usaha berterusan ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan bakat baharu, memperkukuh ekosistem sukan berkuda serta menjadikan RSPEC sebagai destinasi sukan dan rekreasi yang terbuka, dinamik dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Diraja RSPEC bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda Sultan Selangor di sini, malam tadi.
Menurut Syed Budriz, pembinaan kelab polo dan ekuestrian itu selari dengan hasrat dan misi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya negeri ini mempunyai kemudahan sukan yang lengkap dan selesa.
“Hasil perbincangan mendapati Sepang antara daerah sesuai. Kelab yang dibina seluas 28 hektar mempunyai aspirasi tersendiri selain mencipta fasiliti bertaraf dunia.
“Kerja-kerja fizikal bermula pada November 2024 itu dilengkapi antaranya padang polo, trek pasir, 136 kandang kuda serta arena dalaman dan luaran, Sejiwa Social Club yang menempatkan lapan gelanggang pickleball,” katanya.

Dalam pada itu, bekas jaguh ekuestrian negara Dato’ Qabil Ambak Mahammad Fathil berkata pembukaan kelab berkenaan kepada umum memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menceburi sukan itu.
“Sukan ekuestrian sebenarnya telah lama dalam keluarga saya bermula daripada bapa, abang dan adik. Saya berharap ini menjadi contoh kepada keluarga lain untuk bermain sukan ekuestrian.
“Dengan adanya kelab ini yang dibuka secara umum, ini menjadi peluang kepada orang ramai untuk berkecimpung dalam sukan ini. Mungkin ramai takut untuk bermain dan anggap sukan ini khas kepada golongan tertentu sahaja,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan merasmikan Piala Kejohanan Polo Jubli Perak Sultan Selangor yang bakal diadakan pada tahun hadapan.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Polo) kepada Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis Dato' Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail dan Tengku Panglima Besar Tan Sri Tengku Alam Shah.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Ekuestrian) pula disampaikan kepada Tan Sri Mahamad Fathil bersama tiga anaknya, Dato' Quzier Ambak, Qabil Ambak dan Quzandria Nur.
Turut berangkat Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.










