Pembukaan Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) di Cyberjaya, Sepang bakal memberi dimensi baharu untuk sukan yang menyimpan sejarah panjang di negara ini.
Meski dianggap acara elit, usaha dibuat bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengenali, mencuba dan menyertai sukan polo serta ekuestrian, khususnya generasi muda.
RSPEC bukan untuk keahlian eksklusif sahaja sebaliknya kelab awam yang menjambatani orang ramai dengan sukan tersebut, kata Presidennya Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail.
“Melangkah ke hadapan, RSPEC akan memperluas penganjuran program sukan, pendidikan dan komuniti bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang, khususnya generasi muda untuk mengenali, mencuba dan menyertai sukan polo serta ekuestrian.

“Usaha berterusan ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan bakat baharu, memperkukuh ekosistem sukan berkuda serta menjadikan RSPEC sebagai destinasi sukan dan rekreasi yang terbuka, dinamik dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada Media Selangor.
Pembinaan RSPEC di tanah seluas 28 hektar pada November 2024 itu selari misi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya negeri ini ada kemudahan sukan yang lengkap dan selesa.
RSPEC yang dirasmikan Baginda pada 26 September itu menyediakan trek pasir sepanjang satu kilometer, 136 petak kandang kuda, arena dalaman dan luaran. Ia turut menempatkan lapan gelanggang bola pikel.
Menurut Timbalan Presiden RSPEC Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim pula, Sultan Sharafuddin mahu pembangunan tersebut menjadi pemangkin perkembangan sukan polo dan ekuestrian di Selangor.
"Orang awam boleh datang untuk menggunakan segala kemudahan. Pasti ada bayarannya dalam konteks 'pay per use' tetapi paling penting ia milik orang awam, kita hendak merakyatkan sukan ini selain merasai sendiri pengalaman.
"RSPEC diwujudkan supaya menjadi destinasi sukan rekreasi komuniti yang boleh dinikmati lebih ramai masyarakat," katanya.
RSPEC juga menyediakan kelas khas pada kadar yuran berpatutan bagi memberi pendedahan kepada individu yang berminat menunggang kuda atau menjadi atlet sukan polo dan ekuestrian.
Selain menyediakan kuda untuk latihan, Akademi Polo juga diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai atlet selain beri pendedahan awal perihal kaedah menunggang dan bermain polo.
Selain sukan, RSPEC juga menekankan aspek pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi membuka peluang kepada masyarakat mengubah kehidupan dalam bidang berbeza.
Menurut Dr Irmohizam, terdapat banyak ruang kemahiran bagi TVET berteras industri sukan polo dan ekuestrian antaranya penjagaan kuda termasuk memastikan tempat simpanan kuda.
"Ini bukan hanya kepada mereka yang menunggang kuda sahaja sebaliknya nilai tambah pendidikan itu supaya menjadi pencetus sekaligus mengubah nasib masyarakat dalam bidang berbeza.
"Kita boleh bekerjasama dengan universiti-universiti di Selangor seperti Universiti Putra Malaysia melibatkan latihan industri yang ada di fakulti berkaitan bukan berkaitan kuda sahaja tetapi veterinar dan perniagaan," katanya lagi.
Dengan adanya kemudahan polo dan ekuestrian termasuk di Fraser Valley Polo Club di Kuala Kubu Bharu, Selangor berupaya melahirkan bakat baharu untuk bersaing dengan atlet antarabangsa.
Anugerah Sepanjang Hayat
Pada 3 Oktober, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Polo) kepada Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis Dato' Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail dan Tengku Panglima Besar Tan Sri Tengku Alam Shah.

Penganugerahan tersebut sempena Majlis Makan Malam Gala Diraja RSPEC bagi merai sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Ekuestrian) pula disampaikan kepada Tan Sri Mahamad Fathil bersama tiga anaknya, Datuk Quzier Ambak, Datuk Qabil Ambak dan Quzandria Nur.
Qabil Ambak, pemenang lapan pingat termasuk satu emas Sukan Asia 2023 menyifatkan pembukaan kelab itu kepada umum memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menceburi acara polo.
“Sukan ekuestrian sebenarnya telah lama dalam keluarga saya bermula daripada bapa, abang dan adik. Saya berharap ini menjadi contoh kepada keluarga lain untuk bermain sukan ekuestrian.
“Dengan kelab ini dibuka secara umum, ini menjadi peluang kepada orang ramai berkecimpung dalam sukan ini. Mungkin ramai takut untuk bermain dan anggap sukan ini khas kepada golongan tertentu sahaja,” katanya.
Pada awalnya, Kejohanan Polo Piala Jubli Perak Sultan Selangor diadakan tahun ini tetapi ditangguh kepada awal tahun depan ekoran masalah jerebu. Ia diganti kejohanan tertutup Charity Shield pada 5 hingga 17 Oktober melibatkan enam pasukan. Kutipan hasil disalur kepada badan-badan kebajikan di Selangor dan Pahang.
Pembukaan RSPEC juga dianggap kesinambungan sejarah polo di Selangor yang bermula dengan penubuhan Kelab Polo Selangor pada 1902 di Port Swettenham yang kini dikenali sebagai Pelabuhan Klang.
Kelab tersebut kemudian berpindah beberapa kali termasuk ke Gurney Drive dan Selangor Turf Club sebelum ke Ampang Hilir pada 1960-an dan kekal di sana hingga 2022.







