Buli bukan hanya di sekolah, 15 daripada 56 kes berlaku di luar pengawasan institusi – TAB

26 Sep 2026, 9:08 AM
Buli bukan hanya di sekolah, 15 daripada 56 kes berlaku di luar pengawasan institusi – TAB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Perlakuan buli tidak terhad di kawasan sekolah, sebaliknya turut berlaku di luar pengawasan institusi pendidikan, menurut Tribunal bagi Antibuli (TAB).

Presidennya, Nurul Husna Awang berkata 15 daripada keseluruhan 56 laporan kes buli yang diterima TAB sejak badan khas itu ditubuhkan pada 16 Jun lalu berlaku di luar pengawasan institusi pendidikan.

Beliau berkata, baki 41 kes lagi berlaku dalam pengawasan institusi pendidikan dengan sekolah menengah harian merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 19 kes.

Selain itu, sekolah swasta merekodkan sembilan kes, diikuti sekolah rendah harian (lapan), sekolah berasrama penuh (empat) dan kolej vokasional (satu).

"Tiada kejadian kes buli dicatatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau Maktab Tentera Diraja dalam tempoh berkenaan.

"Tiada kes juga direkodkan membabitkan institusi di bawah Jadual Kedua Akta Antibuli 2026 [Akta 876]," katanya seperti dilaporkan BH Online.

TAB ditubuhkan di bawah Akta Antibuli 2026 (Akta 876) untuk mendengar, mengadili, dan memutuskan kes serta aduan berkaitan perlakuan buli secara cepat, mudah, dan tanpa kos.

Mengenai kategori mangsa, Nurul Husna berkata, 35 daripadanya adalah pelajar sekolah menengah, membabitkan 27 mangsa sekolah menengah harian, empat sekolah swasta, seorang kolej vokasional dan tiga kategori lain.

"Mangsa buli di sekolah rendah pula 18 orang iaitu 10 dari sekolah rendah harian, lima sekolah swasta dan tiga kategori lain-lain.

"Bagi mangsa peringkat tadika pula membabitkan seorang mangsa di tadika kerajaan dan dua lagi dari tadika swasta," katanya.

Dari segi taburan negeri, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah pendaftaran aduan kes buli tertinggi dengan 15 kes, diikuti Selangor dan Johor masing-masing tujuh kes.

Sabah merekodkan enam kes, Negeri Sembilan lima kes, manakala Perak, Pahang, Melaka dan Pulau Pinang masing-masing tiga kes.

Kedah merekodkan dua kes, sementara Perlis dan Terengganu masing-masing satu kes.

"Tiada aduan direkodkan TAB di Kelantan, Putrajaya, Sarawak dan Labuan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.