MPSepang tutup lima premis makanan di Southville City

19 Sep 2026, 8:00 AM
MPSepang tutup lima premis makanan di Southville City
MPSepang tutup lima premis makanan di Southville City

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lima premis makanan di Southville City dikenakan Notis Perintah Tutup susulan pemeriksaan kebersihan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) pada 11 September lalu.

Operasi Bersepadu Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan itu melibatkan pemeriksaan terhadap 22 daripada 43 premis yang disenaraikan, dengan 15 kompaun serta 21 Notis Arahan Pembersihan dikeluarkan.

Menurut MPSepang, operasi kali kedua itu dilaksanakan Jabatan Kesihatan Persekitaran bersama Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan serta Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB).

“Seramai 83 anggota daripada jabatan teknikal MPSepang terlibat dalam operasi berkenaan yang bertujuan memastikan premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat selain mematuhi peruntukan perundangan ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Notis tindakan penguatkuasaan MPSepang ditampal di sebuah premis makanan susulan pemeriksaan kebersihan di Southville City, Sepang. — Foto Facebook MPSepang

Susulan pemeriksaan itu, Jabatan Penguatkuasaan mengeluarkan 14 kompaun serta merekodkan satu tindakan inventori sitaan, manakala Jabatan Pelesenan mengeluarkan 17 Notis Pelanggaran Syarat.

Operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta Undang-Undang Kecil MPSepang 2007 yang berkaitan.

MPSepang memaklumkan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi ketetapan pihak berkuasa tempatan.

"Kerjasama semua pihak turut diperlukan bagi memastikan persekitaran premis makanan sentiasa bersih, selamat dan selesa untuk masyarakat," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.