KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dilaporkan meninggal dunia semalam, dengan ahli keluarganya mendakwa mangsa dipukul ketika berada di asrama sekolah.
Perkara itu dikongsikan seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu saudara mangsa menerusi beberapa hantaran di Threads sejak malam tadi, lapor Berita Harian.
Menurut wanita berkenaan, dia dimaklumkan mengenai kematian anak saudaranya selepas menerima panggilan daripada adiknya yang juga ibu mangsa.
“Angah telefon adik tadi menangis kata anaknya dah meninggal kena pukul dekat asrama sekolah.
“Sekarang semua tengah dalam perjalanan ke Hospital Kuala Pilah,” katanya menerusi hantaran itu.
Dalam hantaran susulan, wanita berkenaan mendakwa jenazah mangsa pada awalnya berada di Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa ke sebuah hospital di Seremban untuk bedah siasat.
Dia turut mendakwa seorang pelajar Tingkatan Empat ditahan berhubung kejadian itu, manakala mangsa adalah pelajar Tingkatan Dua.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai kejadian serta penahanan berkenaan masih belum disahkan polis.
Dalam satu lagi hantaran pagi ini, wanita berkenaan memaklumkan bedah siasat terhadap jenazah mangsa dijadualkan pada jam 12 tengah hari.
Usaha mendapatkan pengesahan polis berhubung kejadian sedang dilakukan.






