KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa negeri sehingga 11 malam ini.
Di Selangor, kawasan terlibat ialah Hulu Langat dan Gombak, selain seluruh Kuala Lumpur.
Amaran turut melibatkan beberapa kawasan di Kelantan iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Kuala Krai dan Machang.
Di Terengganu, kawasan terlibat ialah Besut, Hulu Terengganu dan Dungun, manakala di Pahang membabitkan Lipis, Jerantut, Bentong, Bera, Temerloh dan Maran.
Negeri Sembilan pula membabitkan Jelebu, Jempol, Seremban dan Kuala Pilah.
Di Sarawak, amaran dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Kapit, Serian, Samarahan, Sri Aman, Limbang, Miri, Betong, Sibu dan Bintulu.
MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.







