Hujan lebat, enam stesen air Selangor cecah tahap amaran

25 Sep 2026, 12:18 PM
Hujan lebat, enam stesen air Selangor cecah tahap amaran

SHAH ALAM, 25 SEPT: Hujan lebat berterusan petang hingga malam ini menyebabkan paras air di beberapa lokasi di Selangor meningkat ke tahap waspada dan amaran.

Berdasarkan data InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor setakat 8.19 malam, enam stesen merekodkan bacaan pada tahap berkenaan membabitkan daerah Klang, Petaling, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Di Klang, stesen Pekan Meru merekodkan paras air 4.04 meter pada 8 malam, melepasi paras amaran 4 meter dan menghampiri tahap bahaya 4.2 meter.

Di daerah Petaling, stesen Kampung Melayu Subang mencatat 17.02 meter, melepasi paras amaran 16.9 meter, manakala Kampung Budiman merekodkan 7.7 meter, menyamai paras amaran.

Stesen Batu Tiga pula berada pada tahap waspada dengan bacaan 4.5 meter setakat 8.19 malam.

Sementara itu, stesen Rimba KDR di Sabak Bernam merekodkan bacaan 1.74 meter, melepasi paras waspada 1.7 meter.

Pintu Air Ijok di Kuala Selangor turut mencatat bacaan pada tahap waspada iaitu 3.38 meter pada 8.15 malam berbanding paras waspada 3.1 meter.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor sehingga 8 malam.

Amaran yang dikeluarkan pada 5.15 petang itu turut melibatkan beberapa negeri lain termasuk Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor serta Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah dan Labuan.

MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan warga Shah Alam supaya sentiasa berwaspada, memantau keadaan cuaca dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga berikutan hujan lebat berterusan.

Orang ramai yang berdepan kecemasan atau memerlukan bantuan berkaitan banjir boleh menghubungi Bilik Gerakan PANTAS MBSA di talian 03-5510 5811.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.