NIBONG TEBAL, 27 NOV: Kegagalan untuk mematuhi garis panduan dan syarat teknikal antara punca banjir kilat berlaku di kawasan pembangunan baharu di bandar dan kawasan pinggirannya.
Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pematuhan itu penting supaya projek baharu tidak membawa risiko bah.
Menurut Ir Dr Chang Chun Kiat, ada pelbagai manual dan garis panduan berkaitan perancangan serta reka bentuk sistem saliran termasuk Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga ada mekanisme semakan permohonan pembangunan termasuk meneliti reka bentuk dan pengiraan teknikal sebelum sesebuah projek diluluskan.
“Sebenarnya di Malaysia, kita ada manual, garis panduan dan sebagainya. Pada peringkat perancang, reka bentuk. Kita juga ada di PBT, ada OSC yang melihat setiap permohonan tersebut.
“Jika semua patuh dan mengikut garis panduan, manual sepatutnya tidak ada masalah,” katanya.
Beliau percaya isu utama bukan soal garis panduan, sebaliknya tahap pematuhan syarat pembangunan dan reka bentuk sistem saliran kerana bah tidak berlaku jika keperluan itu dipenuhi.
“Kalau kita dah memenuhi semua syarat pembangunan, reka bentuk dan sebagainya, sepatutnya tidak boleh ada isu banjir,” katanya lagi.
Namun, Dr Chun Kiat tidak menolak faktor manusia seperti pembuangan sampah menyumbang kepada banjir kilat lantaran sisa yang masuk ke sistem saliran boleh menghalang aliran air, sekali gus menjejaskan kapasiti longkang ketika hujan lebat.
Selain itu, beliau berkata PLANMalaysia dijangka memperkenal Garis Panduan Perancangan Bandar Lestari Air manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dijangka memperkenal MSMA edisi ketiga pada 2027.
Edisi baharu MSMA itu dijangka mengambil kira faktor perubahan iklim serta keperluan sistem saliran yang lebih mampan bagi menghadapi perubahan corak hujan dan risiko cuaca ekstrem.








