Agenda sosial Selangor 2027 tumpu kesejahteraan rakyat menyeluruh

25 Sep 2026, 11:00 AM
Agenda sosial Selangor 2027 tumpu kesejahteraan rakyat menyeluruh

SHAH ALAM, 25 SEPT: Agenda pembangunan sosial Kerajaan Negeri tahun depan perlu melangkaui usaha membasmi kemiskinan dengan memberi lebih perhatian kepada peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

EXCO Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata perkara itu dirumus berdasarkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan orang ramai dalam Sesi Libat Urus Belanjawan Selangor 2027, hari ini.

“Berdasarkan pembentangan dan pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan, saya rumuskan dan bentangkan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bahawa fokus kita untuk 2027 perlu menjurus kepada kualiti hidup, bukan lagi hanya membasmi kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas menghadiri sesi berkenaan di Selangor International Trade Centre (SITC).

Sesi itu turut menampilkan pembentangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengenai peluang pekerjaan inklusif membabitkan orang kurang upaya (OKU), pekerja gig, bekas banduan, warga emas dan wanita rentan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula membentangkan perkara berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

Anfaal berkata campur tangan kerajaan menerusi pelaburan sosial dalam bidang berkenaan mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih luas selain meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Katanya, wanita rentan khususnya mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal perlu diiktiraf sebagai penyumbang kepada ekonomi.

Justeru, lebih banyak sokongan perlu disediakan termasuk bantuan kewangan, sokongan institusi serta insentif kepada organisasi untuk menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak.

“Ini akan membantu ibu bekerja dan menggalakkan pelaksanaan dasar tempat kerja yang mesra keluarga,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga perlu memperkukuh hubungan antara agenda masyarakat penyayang dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dengan pembangunan tenaga kerja, termasuk menerusi ekonomi penjagaan.

“Apabila kita bercakap mengenai pusat jagaan dan pusat asuhan kanak-kanak yang inklusif, kita juga mewujudkan peluang kepada penjaga tidak formal.

“Kita juga perlu melihat peluang pekerjaan untuk warga emas serta memperkukuh pusat aktiviti warga emas supaya tiada sesiapa yang tercicir,” katanya.

Belanjawan Selangor 2027 dijadual dibentangkan pada 13 November.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.