SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri melaksanakan pemutihan tanah sawah di Barat Laut Selangor bagi mendapatkan gambaran sebenar status tanah kawasan tersebut sebelum merangka langkah penambahbaikan sektor padi.
EXCO Pertanian Dato’ Ir. Izham Hashim berkata usaha itu penting bagi mengenal pasti tanah yang masih diusahakan sebagai sawah, digunakan untuk tanaman lain atau telah dibangunkan bagi kegunaan berbeza.
“Revolusi sawah ini cara kita melihat pelaksanaan itu secara menyeluruh, bukan kosmetik, tetapi struktur dan dasar. Kita kena ada penyelesaian yang holistik dan tuntas, bukan secara ad-hoc.
“Bancian status tanah sawah itu sedang dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Sabak Bernam, dengan data lengkap dijangka diperoleh pada 2027,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Bersama Menteri Besar Selangor di Selangor International Trade and Exhibition Centre (SITEC), hari ini.
Izham berkata bancian tersebut penting kerana sebelum ini tiada data terperinci mengenai status keseluruhan tanah sawah di kawasan Barat Laut Selangor, termasuk tanah yang telah beralih kepada tanaman sayur, kelapa sawit atau kegunaan lain seperti rumah inap.
Jels beliau, Selangor juga tidak mempunyai banyak tanah baharu untuk dibangunkan bagi sektor pertanian, sekali gus menyebabkan peningkatan pengeluaran padi bergantung kepada usaha meningkatkan produktiviti kawasan sedia ada.
Sementara itu, Izham dalam penggulungan sesi libat urus berkata pendekatan ‘revolusi sawah’ perlu melibatkan perubahan menyeluruh terhadap struktur dan pelaksanaan sektor berkenaan dengan mengambil kira penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang.
Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan kerana sebahagian besar perkara berkaitan pembangunan sektor padi berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.








