SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil pendekatan strategik dengan menyantuni pelbagai segmen industri kreatif bagi memastikan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata tumpuan tahun ini diberikan kepada industri batik bagi menggalakkan usahawan mengetengahkan produk masing-masing.
“Sekarang kita sedang dalam rangka untuk menyantuni segmen-segmen yang kita telah kenal pasti. Tahun lepas kita mula dengan peluncuran, tahun ini kita buat dengan pengisian.
“Tahun ini, kita tumpukan kepada mereka yang terlibat dalam industri batik kerana mahu beri galakan kepada usahawan mengetengahkan produk masing-masing.
“Insya-Allah selepas ini kita akan meneroka lebih banyak segmen berpotensi termasuk pembuatan filem pendek atau penerbitan animasi. Kita ambil perancangan holistik dan santuni semua segmen ekonomi kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi libat urus Belanjawan Selangor 2027 bersama Dato’ Menteri Besar hari ini.
Tahun lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 sebagai kerangka pembangunan sektor berkenaan untuk tempoh 10 tahun.
Pelan itu dirangka bagi menempatkan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif serantau yang berdaya saing di peringkat global, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Tiga teras utama digariskan menerusi pelan berkenaan iaitu digital dan multimedia, seni dan budaya serta warisan kebudayaan.
Mengulas cadangan penubuhan Majlis Ekonomi Kreatif, Mohd Najwan berkata perkara itu masih diteliti bagi memastikan matlamat dan bentuk pelaksanaannya benar-benar sesuai.
“Setakat ini, kita masih belum menubuhkan lagi kerana hendak melihat kesesuaian selain memastikan sasaran yang jelas.
“Kita mahu setiap penubuhan atau tindakan dibuat mempunyai impak. Buat masa ini, kita dalam pertimbangan lagi, namun akan kenal pasti kaedah atau pendekatan lebih realistik untuk bantu gerakkan ekonomi kreatif di Selangor,” ujarnya.









