SHAH ALAM, 2 Jan: Kepelbagaian penduduk serta kekayaan latar budaya menjadikan Selangor berpotensi muncul sebagai pusat sehenti bagi industri makanan dan fesyen, kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis.
Beliau berkata, keupayaan ekonomi kreatif Selangor diperkukuh oleh kepelbagaian demografi negeri itu, dengan hampir suku daripada jumlah penduduknya terdiri daripada rakyat yang berhijrah dari negeri lain, sekali gus memperkaya landskap kulinari serta identiti budaya tempatan.
“Inilah maksud sebenar menjadi anak Selangor,” katanya ketika menjadi tetamu program Lunch On Us! terbitan Media Selangor yang disiarkan pada Isnin lalu.

“Kita mungkin tidak mempunyai legasi budaya seperti Pulau Pinang, Johor atau Melaka. Namun, Selangor sebagai negeri ‘melting pot’ wajar menjadi pusat sehenti makanan dan minuman serta fesyen,” katanya.
Pada 23 dan 24 September lalu, Selangor menganjurkan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor (SCEE) buat julung kalinya, menghimpunkan bakat kreatif, usahawan, pelabur, agensi kerajaan serta pemain industri berkaitan.
Penganjuran itu meletakkan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif serantau, dengan sasaran sektor berkenaan menyumbang RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2035, berbanding kira-kira RM2 bilion ketika ini.
Pada 24 November, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 yang bertujuan memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif negeri melalui pendekatan strategik, inklusif dan bersepadu.

Pelan berkenaan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu digital dan multimedia, seni dan budaya, serta warisan budaya, yang disokong oleh inisiatif pembangunan bakat, peluasan pasaran dan penambahbaikan dasar.
Amirudin turut memaklumkan, kerajaan negeri sedang merancang penubuhan Majlis Ekonomi Kreatif pada tahun hadapan bagi menilai perkembangan, memperkukuh pelaksanaan serta meneliti kemajuan pelan tindakan tersebut.
Dalam pada itu, Jay Jay berkata setiap daerah di Selangor mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengah dan dipromosi dengan lebih berkesan.
Beliau merujuk kepada warisan fesyen negeri, khususnya di kawasan seperti Tanjung Sepat dan Morib yang terkenal dengan penghasilan batik tradisional.
Katanya, sokongan berterusan melalui geran kepada penggiat seni tempatan bukan sahaja mampu mengangkat industri fesyen, malah memberi manfaat kepada sektor kreatif lain seperti muzik dan perfileman.
“Saya yakin pelan tindakan ekonomi ini akan banyak membantu,” katanya.





