Sekatan media sosial bawah 16 tahun perlu seimbang, elak jejas bakat digital belia

31 Mac 2026, 6:00 AM
Sekatan media sosial bawah 16 tahun perlu seimbang, elak jejas bakat digital belia
Sekatan media sosial bawah 16 tahun perlu seimbang, elak jejas bakat digital belia
Sekatan media sosial bawah 16 tahun perlu seimbang, elak jejas bakat digital belia

SHAH ALAM, 31 MAC: Sekatan penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun perlu seimbang agar tidak menjejaskan masa depan belia, khususnya dalam ekonomi digital dan industri kreatif.

EXCO Belia, Mohd Najwan Halimi berkata sekatan tersebut berpotensi menjejaskan pembangunan kemahiran digital generasi muda, sekali gus menghadkan peluang mereka dalam industri berkenaan.

“Ramai pencipta kandungan memulakan kerjaya sejak remaja termasuk dalam bidang penyuntingan, penceritaan serta pembinaan jenama. Sekatan yang terlalu ketat berisiko memperlahankan pertumbuhan bakat-bakat muda ini.

"Selain itu, akses kepada maklumat dan pembelajaran tidak formal seperti panduan praktikal dalam talian juga akan terjejas sekali gus meningkatkan jurang digital dalam kalangan belia,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian mengulas langkah Indonesia menyekat penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun di negara tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Najwan menegaskan sekatan itu turut mempunyai kesan positif termasuk mengurangkan pendedahan awal kepada risiko digital seperti penipuan, eksploitasi dan buli siber selain menggalakkan perkembangan sosial dan fizikal yang lebih seimbang.

EXCO Belia, Mohd Najwan Halimi. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, pendekatan berasaskan pendidikan dan literasi digital amat penting bagi membina daya tahan serta tanggungjawab belia dalam penggunaan media sosial, selain memerlukan kerjasama semua pihak untuk memberi impak jangka panjang.

Mohd Najwan turut berharap pendekatan seimbang dapat memastikan generasi muda menguasai kemahiran digital kritikal tanpa terdedah kepada risiko penggunaan media sosial secara tidak terkawal.

Sebelum ini, media melaporkan Indonesia melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun selaras pelaksanaan peraturan keselamatan digital Dasar Tata Kelola untuk Anak Aman dan Sehat Digital (Tunas) bermula 28 Mac lalu.

Indonesia menjadi negara bukan Barat pertama yang menguatkuasakan sekatan sedemikian di seluruh negara susulan perkembangan peraturan serantau dan usaha memperkukuh keselamatan digital khususnya bagi pengguna muda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.