SERDANG, 1 OGOS: Aktiviti berasaskan minat yang berkembang menjadi gaya hidup mampu mencipta aktiviti ekonomi baharu serta membuka peluang perniagaan kepada komuniti dan industri kreatif, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkembangan komuniti daripada perhimpunan kecil kepada festival bertaraf antarabangsa seperti Festival Art of Speed Malaysia membuktikan hobi mampu berkembang menjadi ekosistem yang menjana nilai ekonomi.
"Sesetengah aktiviti komuniti bersama yang dianggap gaya hidup boleh menggerakkan komuniti kita ke arah kebaikan serta perubahan kepada negeri dan negara.
"Ia boleh berkembang menjadi faktor ekonomi atau menjadi pengenalan kepada mana-mana kelompok atau komuniti," katanya ketika merasmikan Festival Art of Speed Malaysia Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, perkembangan komuniti berasaskan minat menunjukkan gaya hidup bukan sekadar aktiviti santai, malah berpotensi mencipta peluang ekonomi dan produk baharu.
"Saya percaya ini adalah sebahagian daripada kehidupan kita yang bukan saja memberikan koleksi, himpunan, gaya hidup dan perkongsian minat tetapi mencipta peluang ekonomi baharu, ciptaan produk baharu dan pelbagai perkara lain," katanya.
Beliau berkata Selangor sebagai negeri metropolitan dan kosmopolitan perlu terus meraikan kepelbagaian komuniti serta gaya hidup kerana ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
"Selangor dengan sekitar 7.4 juta populasi mempunyai pelbagai varian yang harus kita raikan. Sebab itu negeri ini harus menjadi sebuah negeri metropolitan dan mengekalkan konsep kepelbagaian budaya dalam masyarakat. Kita meraikan, hormat dan menghargai sesama kita," katanya.
Sementara itu, EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata Festival Art of Speed dijangka menjadi antara pemangkin untuk Selangor mencapai sasaran sembilan juta pelancong tahun ini menerusi kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung.

Katanya, festival yang memasuki edisi ke-15 itu mempunyai kelompok peminat yang besar dan berpotensi menarik puluhan ribu pengunjung ke negeri ini.
"Ini merupakan satu acara tahunan yang mana Tourism Selangor memberi sokongan padu kepada penganjur. Mereka ini memang ada peminat yang tertentu dan jumlahnya besar. Tahun lepas 70,000 pengunjung dan tahun ini saya rasa lebih daripada itu," katanya.
Festival yang berlangsung pada 1 dan 2 Ogos itu bukan sekadar menghimpunkan peminat kereta dan motosikal ubah suai, malah menjadi medan pertemuan penggiat seni, fesyen, muzik serta industri kreatif.
Edisi kali ini turut disertai pembina kenderaan, jenama dan pengumpul dari Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Brunei dan Filipina.
Antara tarikan utama ialah Harley-Davidson Knucklehead 1945 milik Hawgholic dan Harley-Davidson Shovelhead 1966 oleh Vise Clothing, yang dibawa khas dari Jepun ke Malaysia.
Turut dipamerkan sembilan kereta modifikasi dan model klasik dari Bangkok, selain kenderaan hasil sentuhan Garage Yoshida dan Garage Defend dari Jepun.









