
SHAH ALAM, 25 SEPT: Belanjawan Selangor 2027 yang akan dibentangkan pada November ini dijangka memfokuskan usaha menangani isu sosioekonomi, termasuk kebajikan golongan muda dan warga emas.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran negeri sedang memperhalusi pelbagai program kebajikan bagi memastikan setiap inisiatif yang diperkenalkan memberi manfaat kepada rakyat.
“Ada tiga kaedah yang pernah dilaksanakan iaitu program bantuan tunai, program peningkatan kemahiran dan ilmu, dan program sokongan untuk bangunkan infrastruktur seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pusat jagaan anak-anak.
“Inilah tiga perkara daripada ulasan EXCO kebajikan. Kita akan mengekalkan sokongan kewangan dan bantuan yang diperlukan rakyat dan inilah formula untuk kita tangani kemiskinan tegar,” katanya berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor, hari ini.
Terdahulu, program yang diadakan di Selangor International Trade Center (SITC) di sini, dimulakan dengan perbincangan Sesi Focus Group yang disertai para pemegang taruh, sebelum dibentangkan secara terperinci kepada Amirudin.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga berhasrat membantu mengurangkan tekanan golongan ibu bapa menerusi bantuan sarapan percuma kepada pelajar sekolah serta pembangunan pusat transit.
Jelas beliau, inisiatif tersebut juga tidak boleh hanya dilaksanakan di anak syarikat atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berikutan kebanyakan penduduk Selangor turut bekerja dalam sektor swasta.
“Kita harus mempunyai keutuhan dan kekuatan dalam menyusun ekosistem sama ada bantuan tunai seperti MamaKerja, sama ada sokongan melatih dan meningkatkan keupayaan penjaga, mahu pun membina infrastruktur seperti PAWE.
“Ini kita akan rangkum dan selaraskan dalam masa terdekat dan kita akan bentangkan dalam belanjawan nanti,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM3.23 bilion menerusi Belanjawan Selangor 2026, meningkat berbanding RM3 bilion pada tahun sebelumnya.
Bertemakan ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.










