SHAH ALAM, 25 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
Jelas beliau, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
“Mesyuarat khas itu juga akan membincangkan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu selesai.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.






