Setiap ibu bapa menyimpan harapan untuk melihat anak membesar seperti kanak-kanak lain. Berjalan, bercakap dan akhirnya mampu menguruskan diri sendiri.
Namun bagi Muhammad Anas Ahnis, perjalanan membesarkan anak sulung membawa dia dan isteri melalui pengalaman yang tidak pernah dibayangkan.
Saat Aulia disahkan menghidap autisme dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) pada usia tiga tahun, lelaki itu mengakui sukar menerima keputusan itu.
Pada mulanya, bapa berusia 35 tahun itu menyangka kelewatan perkembangan anaknya hanya perkara biasa. Namun, apabila melihat perbezaan Aulia berbanding kanak-kanak seusia, dia mengambil keputusan mendapatkan pemeriksaan pakar.
Antara tanda awal yang disedari ialah Aulia lambat berjalan, sukar berkomunikasi dan lebih banyak menggunakan isyarat untuk menyampaikan kehendaknya.
“Masa mula-mula anak didiagnos memang kami tak boleh terima sebenarnya. Memang terkilan. Tapi sebagai mak ayah, kami kena reda dan cari penyelesaian.
“Orang cakap, muhasabah dirilah. Sebab itu kami cepat-cepat cari bantuan dan buat apa yang mampu di rumah sementara menunggu sokongan yang lain,” katanya.
Daripada rasa sedih dan terkejut, Anas dan isteri mula belajar memahami keadaan anak mereka.
Panduan daripada doktor kemudian membawa keluarga itu kepada Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), sekali gus membuka ruang mendapatkan terapi, mengikuti kursus keibubapaan serta menerima bantuan kewangan. Usaha itu perlahan-lahan membuahkan hasil.
Program terapi yang disertai turut menunjukkan perkembangan positif apabila anaknya kini semakin mampu berkomunikasi, belajar menulis dan melakukan beberapa aktiviti harian dengan lebih berdikari.
“Dulu anak saya banyak gunakan bahasa isyarat sebab tak boleh nak beritahu apa yang dia mahu. Sekarang dia dah boleh bercakap, pilih makanan sendiri, menulis dan masak dengan pemantauan,” katanya.
Bagi Anas, membesarkan anak autisme bukan hanya menuntut kesabaran, malah memerlukan komitmen kewangan yang besar.
Dia pernah membuat tinjauan dan mendapati kos terapi swasta boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000. Pada masa sama, keluarga itu membelanjakan sekitar RM500 hingga RM1,000 sebulan untuk keperluan pembelajaran, aktiviti perkembangan motor halus, bahan terapi dan hobi Aulia.
Sokongan melalui YANIS sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban tersebut dan membolehkan peruntukan keluarga digunakan untuk perkembangan anak.
“Bila dapat sokongan daripada YANIS, bajet itu boleh digunakan untuk keperluan pembelajaran anak pula.
“Banyak inisiatif dari Kerajaan Selangor untuk membantu ibu bapa terutama yang tidak tahu mengurus anak autisme,” katanya.
Ilmu daripada kursus yang diikuti juga tidak disimpan untuk dirinya sendiri. Setiap kali bertemu keluarga yang melalui pengalaman sama, Anas cuba berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh.
Namun, satu perkara yang masih mengusik hatinya ialah pandangan masyarakat apabila Aulia mengalami tantrum di tempat awam.
Bapa kepada dua anak itu berharap masyarakat tidak terburu-buru membuat andaian terhadap anak atau ibu bapa yang sedang berdepan keadaan tersebut.
“Kalau boleh, hulurkan bantuan apa yang termampu sebab mungkin ketika itu, ibu bapa tersebut perlukan bantuan. Masyarakat juga kena ada empati, faham situasi sebab kita tak tahu apa yang dilalui ibu bapa itu,” katanya.

Miliki potensi
Melihat perkembangan Aulia hari ini memberi keyakinan kepada Anas betapa kanak-kanak autisme mempunyai potensi sekiranya diberikan pendidikan, peluang dan sokongan berterusan.
Namun sebagai bapa, tersimpan satu kebimbangan yang sukar diketepikan. Di fikirannya siapakah yang akan menjaga anaknya apabila dia dan isteri sudah tiada suatu hari nanti?
Justeru, bapa kepada dua anak itu berharap lebih banyak laluan pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan diwujudkan supaya individu autisme mampu membina kehidupan sendiri apabila dewasa.
“Anak-anak autisme ini bukan tak ada masa depan. Mereka ada bakat yang tersembunyi. Saya harap akan ada lebih banyak peluang pendidikan dan kerjaya supaya mereka ada hala tuju yang jelas apabila dewasa nanti,” katanya.
Bagi ibu bapa yang baru menerima diagnosis anak, Anas memahami fasa awal itu mungkin dipenuhi persoalan, kesedihan dan kebimbangan seperti pernah dilaluinya.
Namun perjalanan bersama Aulia mengajarnya betapa perubahan tidak berlaku dalam sehari. Ia menuntut kesabaran, ilmu dan usaha yang dilakukan berulang kali.
“Banyakkan sabar dan sentiasa konsisten. Memang penat nak uruskan anak, tapi semua itu kena ketepikan. Kita sebagai ibu bapa kena sentiasa belajar, masuk bengkel dan aplikasikan di rumah selain luangkan masa dengan anak,” katanya.









