Semakin banyak syarikat dalam sektor teknologi maklumat (IT) mula membuka peluang kepada individu autisme berikutan kemampuan mereka memberikan tumpuan dan ketelitian yang tinggi terhadap tugasan tertentu.
Bagaimanapun Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan MSU, Dr Diana Osman berkata, individu autisme tidak boleh disamaratakan kerana setiap seorang mempunyai bakat, kekuatan dan kecenderungan berbeza yang perlu dikenal pasti sebelum ditempatkan dalam sesuatu pekerjaan.
"Kebanyakan syarikat terutama syarikat IT sekarang memang mencari orang autisme yang mempunyai tahap fokus sangat tinggi. Untuk tugasan tertentu, mereka memang mahukan individu autisme kerana kelebihan itu," katanya dalam program Bicara Semasa bertajuk 'Autisme: Cukuplah simpati, lebihkan peluang' terbitan Media Selangor.
Beliau berkata penempatan pekerjaan perlu dibuat berdasarkan penilaian terhadap kekuatan individu, bukannya melalui proses temu duga tradisional semata-mata kerana pendekatan tersebut tidak menggambarkan kemampuan sebenar mereka.
"Ambil mereka bekerja dalam tempoh singkat sebagai tempoh percubaan dan nilai daripada situ," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi memperluaskan peluang pekerjaan kepada individu autisme.
Katanya, NGO seperti Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan Persatuan MyAutism Kebangsaan berperanan menyediakan latihan vokasional, mengenal pasti bakat serta menghubungkan individu autisme dengan majikan yang memerlukan tenaga kerja mengikut kemahiran mereka.
"Badan-badan ini tahu di mana hendak mencari individu (autisme) ini dan syarikat apa yang memerlukan kemahiran tertentu. Dari situ kita boleh fokuskan mereka untuk peluang yang lebih tinggi. Kita minta ibu bapa hubungi NGO ini," katanya.

Dalam pada itu, Dr Diana turut menggesa majikan mewujudkan persekitaran kerja yang mesra autisme kerana peluang kerja sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan sekeliling.
Ujarnya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah menyediakan pencahayaan yang sesuai serta waktu kerja anjal bagi mengelakkan mereka menempuh kesesakan jalan raya selain penyediaan bilik khas untuk rehat.
Menurutnya, persekitaran kerja yang inklusif bukan sahaja membolehkan individu autisme bekerja dengan lebih selesa, malah membantu majikan memanfaat bakat dan keupayaan unik yang dimiliki golongan itu.
Beliau turut menjelaskan beberapa negara seperti Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat boleh dijadikan rujukan dalam mewujudkan sistem sokongan di tempat kerja buat individu autisme dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, Dr Diana juga menekankan tentang kepentingan rakan sekerja yang boleh membantu pekerja autisme menyesuaikan diri dengan persekitaran.
"Saya selalu nasihatkan bahagian sumber manusia untuk memahami individu autistik ini. Kalau boleh dalam kakitangan, kena ada sistem mentor mentee di mana mereka akan bimbing pekerja autisme," katanya.







