Peluang sama buka jalan masa depan golongan OKU

5 Ogos 2026, 4:00 AM
Peluang sama buka jalan masa depan golongan OKU
Peluang sama buka jalan masa depan golongan OKU

Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) giat membina ekosistem sokongan menyeluruh kepada orang kurang upaya (OKU) supaya mereka mampu berdikari.

Pendekatan YANIS bukan terhad kepada pemberian bantuan semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membina sistem sokongan yang saling melengkapi.

Ketua Pegawai Eksekutif YANIS Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim menjelaskan enam inisiatif dirangka supaya anak-anak OKU menerima sokongan berterusan mengikut keperluan dan fasa perkembangan.

Ia antaranya saringan, pusat YANIS, Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILSC), Unit Penjagaan Palsi Serebral (CPCU) dan Bantuan Rahmah Insan Istimewa (BRAIS).

Kaedah itu memudahkan YANIS memperluas fokus daripada kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah sebelum ini kepada masyarakat OKU, daripada peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.

"Jadi itu adalah satu bentuk ekosistem yang kita rangka di YANIS supaya semua anak-anak OKU di Selangor dapat manfaat daripadanya," kata beliau kepada Media Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim

Ekosistem itu bermula dengan saringan awal bagi mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan seawal mungkin. Mereka kemudian menerima intervensi di Pusat YANIS dan mengikuti pendidikan awal serta program transisi mengikut keperluan.

Sokongan kepada anak-anak OKU turut melibatkan peranan ibu bapa, guru, penjaga dan masyarakat melalui inisiatif Program Pembangunan Inklusif (IDP) juga tidak kurang pentingnya.

"Untuk mereka lebih faham bagaimana menjaga (anak autisme) sebab kita dapati bila ibu bapa menyertai bengkel IDP, mereka lebih komited untuk membantu perkembangan anak dan kita boleh lihat hasilnya," kata Kamarul Hisham.

ILSC pula memberi tumpuan kepada OKU berusia antara 18 hingga 25 tahun untuk menjalani latihan kemahiran hidup, kemahiran persendirian dan persediaan pekerjaan. Tempoh latihan bergantung kepada kursus. Biasanya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.

"Ada juga yang berkemahiran dari segi menghasilkan produk-produk bakeri. Mereka bersama ibu atau bapa membuka kafe, membuka bakeri dan kita galakkan mereka jual hasil di program YANIS sepanjang tahun," katanya.

Sebahagian peserta ILSC juga dikesan menunjukkan potensi dalam bidang teknologi maklumat dan pengaturcaraan selain ada alumni yang memperoleh pekerjaan serta menghasilkan produk sendiri.

Grafik Farah Azila Mustapha

Laluan pekerjaan

Bagi memastikan latihan kemahiran diterjemah kepada peluang ekonomi, YANIS memberi perhatian kepada aspek kebolehpasaran. Peluang pekerjaan penting bagi membantu OKU membina kehidupan berdikari selepas latihan.

"YANIS selalu juga bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi program padanan pekerjaan serta penganjuran karnival kerjaya khusus untuk OKU.

"Alhamdulillah banyak majikan yang memang agenda utama dalam syarikat korporat adalah untuk mendapatkan pekerja-pekerja OKU," kata Kamarul Hisham.

YANIS juga menjalin usaha sama dengan sektor swasta bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain bekerjasama dengan agensi kerajaan, pusat kemahiran dan universiti bagi memperluas laluan pendidikan serta pekerjaan OKU.

Jaringan itu disifatkan Kamarul Hisham sebagai penting kerana YANIS terbatas dari segi skop program tetapi berupaya menyalur maklumat dan peluang kepada ibu bapa serta penjaga.

"Kita hendak mereka diberi peluang sama untuk berkembang, belajar, bekerja dan hidup berdikari seperti orang lain. Kami mahu ibu bapa tidak berasa keseorangan.

"Sebaliknya kita hendak mereka tahu bahawa di Selangor ini ada satu sistem sokongan yang sentiasa bersama untuk membantu mereka dalam menghadapi apa jua perkara," katanya.

Kamarul Hisham menegaskan masyarakat perlu melihat OKU berdasarkan potensi dan bakat mereka, bukan memandang kepada kekurangan kelompok tersebut.

YANIS juga akan terus memperluas program ke seluruh negeri bagi mewujudkan ekosistem yang benar-benar inklusif, selari hasrat Selangor yang mengangkat prinsip tiada siapa yang tercicir.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.