Anak autisme perlukan peluang bukan simpati, kata pakar pediatrik

4 Ogos 2026, 5:00 AM
Anak autisme perlukan peluang bukan simpati, kata pakar pediatrik

SHAH ALAM, 4 Ogos: Tangisan, jeritan secara tiba-tiba atau keadaan anak yang sukar dikawal ketika berada di tempat awam sering mengundang pelbagai reaksi.

Ada yang memandang pelik, ada yang menggeleng kepala, tidak kurang juga menyalahkan ibu bapa kerana dianggap gagal mengawal tingkah laku anak.

Hakikatnya, tidak semua yang dilihat dengan mata kasar menggambarkan keadaan sebenar. Bagi keluarga yang mempunyai anak autisme, situasi itu bukan tanda anak tidak berdisiplin atau dimanjakan, sebaliknya sebahagian cabaran yang dihadapi saban hari.

Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan MSU, Dr Diana Osman berkata, masyarakat perlu mengubah cara melihat individu autisme dengan menggantikan sikap menghukum kepada empati kerana kebanyakan individu dalam jalur itu tidak mempunyai ciri fizikal yang boleh dikenal pasti.

"Jangan kita menilai atau memberi tanggapan terutama kepada ibu bapa seolah mereka tak pandai jaga anak," kongsinya dalam program Bicara Semasa bertajuk 'Autisme: Cukuplah simpati, lebihkan peluang' terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Pakar Perunding Paediatrik MSU, Dr Diana Osman ketika program Bicara Semasa di Studio Media Selangor Shah Alam pada 15 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Apabila berdepan situasi sedemikian di tempat awam, orang ramai seharusnya bertenang dan memberi ruang kepada ibu bapa menguruskan anak mereka terlebih dahulu, bukannya menambah tekanan dengan pandangan sinis atau komen yang menghakimi.

"Ada cara untuk kita bantu. Katakan mereka tengah pegang barang, kita boleh hulurkan bantuan dengan pegangkan barang atau bukakan pintu (kenderaan) atau payungkan mereka.

"Ibu bapa itu kadang-kadang bukan tak mahu orang campur urusan atau nak layanan istimewa tapi lebih kepada harap orang sekeliling faham keadaan mereka. Masyarakat kena tunjuk lah kasih sayang kepada individu autisme seperti ini," katanya.

Bukan dinilai sekali pandang

Autisme bukanlah satu kecacatan fizikal yang jelas dilihat seperti Sindrom Down atau lumpuh otak (Cerebral Palsy).

Justeru, masyarakat sering membuat tanggapan berdasarkan tingkah laku yang berbeza tanpa mengetahui individu berkenaan sebenarnya berada dalam spektrum autisme.

"Autism ini spektrumnya luas, dia punyai kepelbagaian dari segi tingkah laku. Jadi jangankan masyarakat, pengamal perubatan dan pendidik sendiri masih tak dapat faham dengan jelas tentang autisme," jelasnya.

Beliau berkata kesedaran mengenai autisme tidak seharusnya terhenti sekadar mengetahui kewujudannya, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui cara masyarakat berinteraksi, berkomunikasi dan memberi sokongan kepada individu autisme serta keluarga mereka.

Apabila keluar ke tempat awam, ibu bapa diingatkan supaya tidak berasa malu atau takut membawa anak autisme hanya kerana bimbang dipandang serong masyarakat.

Kanak-kanak autistik dari Persatuan Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (Insani) mengadakan persembahan dalam suatu majlis di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Mac 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELAMGORKINI

Kata Dr Diana, pendedahan kepada persekitaran sosial sebahagian proses terapi yang penting kerana individu autisme akhirnya perlu hidup dan berinteraksi dalam masyarakat seperti orang lain.

"Jangan sisihkan mereka. Bawa mereka bersama masyarakat, lihatkan persekitaran semua. Ibu bapa kena tahu yang anak-anak mereka ni perlu juga bersosial.

"Macam mana nak yakinkan anak untuk keluar, pertama sekali ibu bapa itu sendiri kena yakin dan berani dengan mengatakan ia adalah sebahagian daripada terapi."

Bagaimanapun, beliau berkata ibu bapa juga perlu bertimbang rasa dengan memilih lokasi yang sesuai mengikut keupayaan anak, selain memahami sensitiviti deria individu autisme.

Tempat seperti pawagam atau konsert yang mempunyai bunyi kuat serta rangsangan berlebihan mungkin boleh mencetuskan tekanan emosi sehingga menyebabkan anak mengalami meltdown.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa memaklumkan keadaan anak kepada orang sekeliling sekiranya berlaku situasi sukar di tempat awam kerana pendekatan itu sering membuka ruang kepada masyarakat untuk menghulur bantuan dengan lebih baik.

"Apabila masyarakat memahami situasi sebenar, mereka lebih cenderung membantu dengan ikhlas, bukan kerana simpati tetapi kerana empati.

"Minta maaf, anak saya autisme, dia sedang mengalami meltdown sekarang," cadangnya kepada ibu bapa.

Dr Diana berkata usaha mewujudkan masyarakat yang benar-benar inklusif memerlukan kerjasama semua pihak. Selain ibu bapa, masyarakat juga perlu belajar memahami kepelbagaian spektrum autisme supaya golongan ini diberi peluang menjalani kehidupan yang lebih harmoni.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.