KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 menjadi platform memperluas kesedaran pengguna terhadap pemilihan kosmetik halal, selain menyokong pembangunan ekosistem industri berkenaan.
Naib Presiden (Strategi, Program & Pembangunan Industri), Pertubuhan Industri Kecantikan Halal & Kesejahteraan Malaysia, Lili Suraini Baharom berkata penyertaan sulung pertubuhan itu di MIHAS dimanfaatkan untuk mengetengahkan kepentingan aspek halal dalam produk kecantikan dan penjagaan diri.
Menurut beliau, masih terdapat pengguna yang kurang memberi perhatian terhadap status halal kosmetik berbanding produk makanan.
“Ramai masih tidak tahu bahawa kosmetik juga perlu diberi perhatian daripada sudut halal. Sebab itu kita sedang perjuangkan perkara ini dan buat kempen kesedaran supaya orang faham bagaimana untuk memilih produk halal.
“Contohnya, produk kosmetik yang digunakan setiap hari seperti gincu dan penjagaan kulit juga perlu dilihat dari aspek bahan yang digunakan (halal atau tidak),” katanya kepada Media Selangor.

Lili berkata pihaknya turut mengetengahkan konsep kosmetik mesra solat dengan rangkaian produk yang dibangunkan mengambil kira keperluan pengguna Muslim.
Pada masa sama, beliau mahu persepsi bahawa produk halal kurang berkualiti berbanding produk konvensional diperbetulkan kerana penghasilannya turut menitikberatkan aspek kebersihan dan kesucian.
“Kadang-kadang ada orang kata produk halal tiada kualiti. Sebenarnya tidak. Produk halal juga berkualiti kerana ia mengambil kira aspek suci dan bersih,” katanya.
Dalam usaha memperluas penyertaan usahawan dalam industri itu, Lili berkata, pertubuhan berkenaan menyasarkan untuk membimbing 300 usahawan menjelang tahun depan menerusi program pembangunan yang menyediakan khidmat bimbingan dan pemantauan.
Katanya, pakej pembangunan produk ditawarkan sekitar RM15,000 hingga RM30,000, merangkumi antaranya pembangunan produk, pembungkusan dan sistem perniagaan.
“Usahawan boleh memilih sama ada mahu menghasilkan set penjagaan kulit atau kosmetik dan paling penting mereka juga boleh menggunakan jenama sendiri.
“Kita bukan mahu bina jenama kita, tetapi mahu angkat nama usahawan itu sendiri supaya mereka boleh membina perniagaan yang boleh bertahan dan seterusnya pergi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan F&V Marketing Supply Sdn Bhd, Aiman Shafiq Norman Affandi berkata penyertaan pertama syarikatnya di MIHAS 2026 membuka peluang untuk memperluas pasaran produk berasaskan daun durian belanda.
Katanya, produk berkenaan telah melalui enam proses termasuk ujian makmal, selain pernah menerima beberapa pengiktirafan berkaitan jenama halal.
“Produk kami berasaskan daun durian belanda dan mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan secara menyeluruh.
“Kita sudah melalui enam proses termasuk ujian makmal dan pernah menerima anugerah dari sudut jenama halal,” katanya.
Aiman berkata syarikatnya sebelum ini turut meneroka pasaran Hong Kong dan Taiwan menerusi platform e-dagang.
“Melalui MIHAS, kita sasarkan untuk dapatkan lebih banyak peluang dan pergi lebih jauh dalam mengembangkan pasaran,” katanya.
MIHAS ke-22 berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 hingga 26 September dengan penyertaan 1,700 syarikat dan 2,400 reruai serta dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 45 negara.
Acara itu dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaras oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).











