
BANGI, 24 SEPT: Ekonomi penjagaan akan terus diperkukuh menerusi Belanjawan Selangor 2027 dengan tumpuan terhadap pembiayaan mampan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam sektor itu.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata perkara itu antara aspek yang sedang diperhalusi Kerajaan Negeri bagi memastikan wanita mendapat sokongan sewajarnya.
“Kita telah melaksanakan beberapa siri perbincangan meja bulat berkaitan pembiayaan ekonomi penjagaan bagi mengenal pasti model pembiayaan yang lebih mampan.
“Selain itu, petang ini Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) juga akan terlibat dalam diskusi bersama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) supaya ekonomi penjagaan dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Gender Outlook Forum (GOF) 2026 anjuran WBS di Dewan Utama Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Menurut Anfaal, Kerajaan Negeri turut meneliti pengukuhan modul latihan penjagaan bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja sektor berkenaan sebagai persediaan Belanjawan Selangor 2027 yang dijadual dibentangkan November depan.
Katanya, usaha itu selari dengan Inisiatif MamaKerja yang membantu wanita bekerja mendapatkan perkhidmatan penjagaan anak berkualiti sekali gus membolehkan mereka terus menyumbang kepada ekonomi negeri.
Pada masa sama, Anfaal berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemetaan data pekerja informal yang tidak berdaftar bagi mengenal pasti keperluan dan bentuk sokongan bersesuaian.
“Pemetaan ini penting supaya kita dapat mengenal pasti sokongan yang diperlukan golongan pekerja informal, sekali gus membantu mereka meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan ekonomi penjagaan turut memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan sistem sokongan yang diwujudkan memenuhi keperluan wanita pada pelbagai peringkat kehidupan.

Pada 14 November 2025, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peluasan Inisiatif MamaKerja dengan peruntukan RM5 juta bagi bantuan tunai RM100 sebulan selama setahun kepada ibu bekerja yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah.
Inisiatif itu disasarkan memberi manfaat kepada 2,166 kanak-kanak di seluruh Selangor.









