EXCO: Peranan 'Male Allies' perkukuh penyertaan wanita dalam politik

7 Sep 2026, 12:30 PM
EXCO: Peranan 'Male Allies' perkukuh penyertaan wanita dalam politik
EXCO: Peranan 'Male Allies' perkukuh penyertaan wanita dalam politik

SHAH ALAM, 7 SEPT: Penglibatan lelaki sebagai rakan perikatan atau 'Male Allies' menjadi pemangkin utama dalam usaha memperkukuh penyertaan wanita dalam politik.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata, pemimpin lelaki yang mempunyai pengaruh dalam parti dan institusi demokrasi perlu menggunakan kedudukan mereka untuk memacu perubahan.

“Pemimpin lelaki yang memegang pengaruh dalam parti dan institusi demokrasi perlu menggunakan kedudukan mereka untuk memacu perubahan nyata, termasuk menyokong kepimpinan wanita, mengagihkan sumber secara saksama, serta lantang menentang sebarang bentuk diskriminasi gender dalam politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemerkasaan wanita dalam politik tidak seharusnya disempitkan kepada pengisian kuota semata-mata, sebaliknya perlu memberi peluang lebih bermakna kepada wanita dalam arena politik.

Katanya, peluang itu termasuk ruang yang adil untuk membina jaringan kepimpinan, mengakses sumber kewangan, bertanding di kerusi strategik serta memimpin proses penggubalan dasar awam secara berkesan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari melawat reruai agensi kerajaan selepas majlis Jelajah Wanita Berdaya Tahan Zon Petaling di Dewan Serbaguna MBSJ SS15, Subang Jaya pada 6 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Isu representasi wanita di Malaysia kini menuntut perubahan sistemik. Walaupun sasaran 30 peratus perwakilan wanita kekal sebagai aspirasi utama, penanda aras sebenar terletak pada keterbukaan institusi dan kepimpinan politik untuk merobohkan halangan struktur.

“Cabaran hari ini bukan lagi mengenai tahap kesediaan wanita, sebaliknya sejauh mana kepimpinan parti bersedia membuka pintu pencalonan, peluang latihan (mentoring), dan pembiayaan secara adil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri meletakkan keselamatan wanita dalam politik sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

“Ancaman seperti pembunuhan karakter (character assassination), intimidasi, dan gangguan dalam talian kerap menjadi tembok penghalang wanita untuk terus bertahan.

“Maka, tindakan membasmi Keganasan Terhadap Wanita Dalam Politik (Violence Against Women in Politics – VAWP) mesti diangkat sebagai agenda teras demi mewujudkan persekitaran politik yang selamat dan sihat,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) menganjurkan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD 5) bertajuk “Peranan Male Allies Dalam Memperkukuh Penyertaan Wanita Dalam Politik Dan Menghapuskan Keganasan Politik Berasaskan Gender” di sini, hari ini.

RTD 5 itu dilaksanakan bagi mencapai lima objektif utama, termasuk menjadi platform strategik untuk memperkukuh perwakilan wanita dalam politik, meneroka laluan kepimpinan yang inklusif serta menggembleng sokongan pemimpin lelaki terhadap jaringan, sumber dan pembentukan budaya politik bebas diskriminasi.

Ia turut menilai kos pencalonan, kempen dan operasi, merangka mekanisme pembiayaan politik yang lebih inklusif, telus dan responsif gender serta merumuskan syor penambahbaikan dasar bagi mengurangkan halangan kewangan dan struktur.

Siri RTD itu merupakan sebahagian daripada pengisian menuju Gender Outlook Forum (GOF) 2026.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.