Video penunggang motosikal jatuh tular, JKR siasat 'laluan hijau' Lebuhraya Persekutuan

24 Sep 2026, 6:15 AM
Video penunggang motosikal jatuh tular, JKR siasat 'laluan hijau' Lebuhraya Persekutuan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyiasat kejadian beberapa penunggang motosikal terjatuh di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan walaupun permukaan di lokasi berkenaan sepatutnya menggunakan bahan anti-gelincir.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keadaan jalan ketika kejadian dilaporkan agak basah susulan hujan renyai, namun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

“Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada kemalangan. Ia mungkin bukan berpunca sepenuhnya daripada permukaan jalan. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Kita tidak tahu sama ada mereka bergerak agak laju, mungkin keadaan sesak ketika itu. Kita masih menyiasat apa sebenarnya yang menyumbang kepada kemalangan berkenaan,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Future-Ready Green Data Centre Symposium: Sustainable and High-Performance Engineering di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Nanta, JKR sudah meninjau lokasi kejadian dan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada insiden itu.

“Saya dimaklumkan tindakan segera akan diambil bagi memastikan kita melakukan penambahbaikan dan kita akan belajar daripada apa yang berlaku di situ,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap individu yang terbabit, khususnya mereka yang mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Terdahulu, rakaman berdurasi 42 saat yang dikongsikan menerusi Threads tular di media sosial selepas memaparkan beberapa penunggang motosikal didakwa terjatuh ketika melalui laluan berwarna hijau yang basah di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan.

Rakaman itu turut menunjukkan beberapa motosikal berada di atas laluan berkenaan, manakala beberapa penunggang dilihat berada di tepi jalan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.