ad

JKR pantau cerun berisiko tinggi, siap siaga musim tengkujuh

20 Nov 2025, 8:03 AM
JKR pantau cerun berisiko tinggi, siap siaga musim tengkujuh

SHAH ALAM, 20 NOV: Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan kejadian tanah runtuh, khususnya di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL), JKR melaksanakan strategi prabencana, semasa bencana dan pasca bencana bagi memastikan Jalan Persekutuan serta cerun dalam keadaan selamat.

“Bagi memantau pergerakan permukaan cerun, had amaran semasa akan dipaparkan menerusi laman web Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh JKR. Hebahan awal turut disalurkan kepada JKR daerah, JKR negeri dan pihak berkepentingan.

“Maklumat ini diperoleh berdasarkan data hujan daripada Sistem Amaran Awal serta data pergerakan cerun yang dipasang di lokasi berisiko,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (Bebas–Gua Musang) mengenai persediaan kementerian menghadapi MTL bagi memastikan keselamatan Jalan Persekutuan dan cerun sentiasa terjamin.

Menurut Nanta, sehingga kini sebanyak 34,633 cerun telah diinventori di seluruh negara, dengan 1,572 lokasi dikenal pasti berada pada tahap risiko sangat tinggi.

Selain itu, katanya, pengumpulan data peta bahaya dan risiko cerun di sepanjang jalan negeri di Semenanjung oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia melibatkan 2,100 kilometer jajaran cerun telah disiapkan pada Ogos lalu.