SHAH ALAM, 4 NOV: Kerja pembaikan dan naik taraf sistem perparitan di kawasan pusingan U, Setia Alam (Jalan Meru FT3217) giat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang memaklumkan kerja pembaikan dan naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya pada 21 November ini, bergantung pada keadaan cuaca dan kelancaran kerja di tapak.
Menurut JKR Klang, kerja terbabit dilaksanakan oleh pemaju Petaling Garden bagi memastikan sistem saliran ditambah baik dan berfungsi dengan lebih berkesan.
"Antara kerja yang dilaksanakan ialah pemasangan lapan perangkap air bagi meningkatkan keupayaan mengumpul dan menyalurkan air permukaan, selain membaiki serta menaik taraf parit sedia ada bagi melancarkan aliran air dan meningkatkan keberkesanan sistem saliran.
"Penambahbaikan sistem saliran ini bertujuan mengurangkan risiko limpahan air ke permukaan jalan ketika hujan lebat. Langkah mitigasi ini juga dapat mengurangkan risiko banjir kilat, sekali gus meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya," katanya menerusi Facebook.
Tambahnya, JKR Klang akan terus memantau kemajuan dan kualiti pelaksanaan kerja oleh pihak pemaju bagi memastikan penambahbaikan sistem saliran dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.










