Jambatan Bailey di Jalan Kubu Gajah dijangka siap dalam tiga minggu - JKR

4 Nov 2026, 2:32 PM
Jambatan Bailey di Jalan Kubu Gajah dijangka siap dalam tiga minggu - JKR

SHAH ALAM, 4 NOV: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor akan memasang jambatan Bailey di Jalan Kubu Gajah susulan kejadian runtuhan di lokasi pembetung awal pagi tadi.

JKR Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pemasangan jambatan itu dijangka siap dalam tempoh tiga minggu, termasuk kerja pengalihan sementara tiang utiliti di lokasi.

“Kejadian runtuhan di Jalan Kubu Gajah yang merentangi Sungai Subang, Petaling berlaku antara jam 2 hingga 3 pagi tadi.

“Runtuhan dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan hakisan sehingga menjejaskan struktur jalan berkenaan,” katanya.

Susulan kejadian itu, Jalan Kubu Gajah ditutup kepada semua pengguna jalan raya bagi memastikan keselamatan orang ramai.

JKR Selangor turut memaklumkan laluan alternatif telah disediakan dan hebahannya disiarkan menerusi Facebook JKR Daerah Petaling pada pagi tadi.

Dalam pada itu, pembinaan jambatan baharu di lokasi berkenaan turut disenaraikan dalam perancangan naik taraf infrastruktur JKR Selangor.

“Kerja-kerja pengukuran sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada 16 November ini, manakala pembinaan jambatan baharu dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

JKR Selangor memaklumkan hebahan lanjut akan dibuat selepas kerja pemasangan jambatan Bailey selesai dan laluan dibuka semula kepada pengguna.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda keselamatan di kawasan berkenaan.

Jambatan utama di Jalan Kubu Gajah, Merbau Sempak runtuh kira-kira jam 2 pagi tadi susulan hujan lebat sejak malam tadi, menyebabkan laluan menghubungkan Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir terputus.

Kejadian tersebut menjejaskan akses lebih 4,500 rumah di kawasan sekitar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.