SHAH ALAM, 24 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenakan kompaun terhadap pemilik premis di Taman Putra yang didapati meletakkan sisa binaan di bahu jalan tanpa permit, semalam.
Pemeriksaan melalui Jabatan Perkhidmatan Bandar & Kesihatan mendapati kesalahan premis tersebut menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan premis berkenaan didapati tidak berpenghuni dan digunakan sebagai tempat pengumpulan sisa binaan.
"Pemeriksaan mendapati sisa binaan yang diletakkan di hadapan premis tidak mempunyai permit yang sah.
"Tindakan kompaun dikenakan terhadap pemilik premis di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPAJ 2007," katanya dalam kenyataan.
MPAJ berkata penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi memastikan kebersihan dan keceriaan kawasan sentiasa terpelihara serta mengelakkan sebarang kacau ganggu kepada komuniti setempat.
"Semua pemilik premis digalakkan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan bagi memastikan persekitaran yang bersih, indah dan selamat," katanya.







