SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan kerja perobohan struktur stor yang dibina di atas bahu jalan di Jalan Embun, Kampung Kuala Ampang semalam.
MPAJ memaklumkan tindakan dilaksanakan susulan pemantauan berkala berkaitan pembinaan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kelancaran persekitaran setempat.
"Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan susulan pemantauan berkala berkaitan pembinaan struktur tanpa kebenaran yang mengganggu penggunaan kawasan awam serta menjejaskan keselamatan dan kelancaran persekitaran setempat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, operasi dilaksanakan Jabatan Bangunan dan Senibina itu dijalankan pada jam 10.20 pagi bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
"Objektif operasi ini adalah untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan, di samping memelihara fungsi rizab jalan serta menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk," menurut MPAJ.
Dalam pada itu, MPAJ berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan dalam kawasan pentadbiran dilaksanakan secara teratur.
"MPAJ akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan di kawasan pentadbiran berada dalam keadaan teratur dan mematuhi peruntukan yang ditetapkan," katanya.









