KUALA SELANGOR, 23 SEPT: Pencarian seorang lagi pemancing yang masih hilang di One Fathom Bank berdekatan dengan Pulau Ketam, Klang minggu lepas belum menemukan petunjuk baharu, setakat ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata pihaknya masih melakukan rondaan rutin di kawasan perairan Selangor dan sempadan Perak.
“Operasi SAR (mencari dan menyelamat) telah ditamatkan, namun kita masih membuat rondaan harian dan meminta kerjasama nelayan tempatan serta komuniti laut.
“Sehingga kini, belum ada petunjuk baharu ditemukan dan sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada APMM bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Program Melabuhkan 18 Tukun Tiruan Jabatan Perikanan (DOF) di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor, di sini hari ini.
Abdul Muhaimin berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan peluang untuk menjumpai mangsa terakhir agak tipis kerana faktor berada terlalu lama di laut, namun pihaknya tidak akan berputus asa serta berharap mangsa terakhir itu dapat ditemukan.
Pada Sabtu lepas, operasi SAR itu ditamatkan sepenuhnya selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu berjaya dikesan.
Sektor pencarian operasi selama enam hari meliputi laut dan udara itu melibatkan radius 3,887 batu nautika persegi di kawasan perairan Selangor dan Perak termasuk Hutan Melintang serta Bagan Datuk.
Pada 14 September lepas, Maritim Malaysia Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan rasmi berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada 3.35 pagi.
Empat mangsa dalam keadaan selamat, manakala dua meninggal dunia, iaitu Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, yang ditemukan di perairan Hutan Melintang pada Rabu dan Khamis minggu lepas, manakala seorang lagi pemancing yang hilang, Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, belum ditemukan, setakat ini.







