Klang, Pulau Ketam alternatif destinasi pelancongan penumpang kapal persiaran

19 Nov 2026, 2:00 AM
Klang, Pulau Ketam alternatif destinasi pelancongan penumpang kapal persiaran

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Tourism Selangor mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan untuk penumpang kapal persiaran termasuk mengetengahkan tarikan sejarah, kebudayaan dan gastronomi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chua Yee Ling berkata usaha itu bertujuan menawarkan pengalaman alternatif kepada pelancong yang sebelum ini lebih cenderung menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama sebaik tiba di Port Klang.

Beliau menjelaskan Klang misalnya berpotensi besar untuk diketengahkan kerana Bandar Diraja itu kaya dengan sejarah dan warisan, selain menawarkan kepelbagaian makanan tempatan yang enak.

“Ya, Klang bandar penuh dengan nilai sejarah, sama saja dengan Georgetown. Kita ada Royal Heritage Walk, Galeri Diraja serta banyak lokasi gastronomi tempatan yang menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Begitu juga Pulau Ketam yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Port Klang Cruise Terminal turut berpotensi menjadi antara tarikan utama, pelancong boleh menikmati makanan laut segar dan lihat suasana kehidupan masyarakat perkampungan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum Malaysia’s Cruise Opportunity: What Will It Take to Grow? ketika Siri Sesi Promosi Pelancongan Seatrade Cruise Asia 2026 di sini pada 17 November.

Sehubungan itu, Yee Ling berkata penambahbaikan akses ke Pulau Ketam dilaksana dengan penyediaan jeti tambahan khusus untuk perkhidmatan bot lawatan bagi memudahkan pergerakan penumpang kapal persiaran.

Menurutnya lagi, inisiatif berkenaan turut mengambil kira maklum balas pasaran Eropah yang menunjukkan minat terhadap pengalaman menikmati makanan laut segar di perkampungan nelayan.

“Lebih menarik sekarang di Pulau Ketam, penduduknya menganjurkan festival seni antarabangsa dengan menglibatkan pihak universiti sejak lima tahun lalu, sekali gus turut menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan.

“Bagi Tourism Selangor, pengalaman pelancongan memang memerlukan elemen storytelling (penceritaan) dan cultural mapping (pemetaan budaya) bagi mengetengahkan keunikan sejarah, warisan, budaya serta identiti tempatan kepada pelancong antarabangsa,” tambahnya.

Tourism Selangor turut menggiatkan program Hos Komuniti dengan kerjasama Kementerian Pelancongan bagi melatih penduduk tempatan berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai sejarah serta budaya setempat.

Program itu turut melibatkan golongan pesara dan bekas guru yang mempunyai pengetahuan luas mengenai sejarah tempatan serta berpotensi menjadi tenaga mahir dalam menyampaikan kisah dan keunikan destinasi kepada pelancong.

“Penglibatan komuniti tempatan penting dalam menghasilkan pengalaman lawatan yang lebih menarik, asli dan mempunyai nilai tersendiri, sekali gus memperkukuh daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelancongan kapal persiaran,” katanya.

Tourism Selangor menyasar kehadiran kira-kira sembilan juta pelancong pada tahun ini, peningkatan hampir lima peratus berbanding keseluruhan 8.45 juta pelancong yang direkodkan sepanjang 2025.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.