Lima warga asing ditahan di Pulau Ketam guna permit kerja tamat tempoh

6 Ogos 2026, 7:54 AM
Lima warga asing ditahan di Pulau Ketam guna permit kerja tamat tempoh

SHAH ALAM, 6 OGOS: Lima warga asing ditahan selepas disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja tamat tempoh ketika pemeriksaan di sebuah sangkar ikan di perairan Pulau Ketam dekat Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan kira-kira jam 10.40 pagi itu dilakukan menerusi operasi bersepadu pihaknya bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi memperkukuh pematuhan undang-undang di perairan negeri.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati lima lelaki warga Indonesia berusia antara 19 hingga 35 tahun sedang bekerja di sangkar ikan berkenaan.

"Hasil semakan lanjut mendapati kesemua mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Muhaimin, pemeriksaan terhadap sangkar ikan itu bagaimanapun tidak menemukan sebarang pelanggaran di bawah Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999.

Katanya, kesemua suspek kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan perairan Selangor tidak dijadikan lokasi pelanggaran undang-undang, termasuk penyalahgunaan dokumen imigresen oleh warga asing.

"Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-660 6652 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.