Pencarian pemancing terakhir diperluas ke perairan Bagan Datuk

19 Sep 2026, 7:11 AM
Pencarian pemancing terakhir diperluas ke perairan Bagan Datuk
Pencarian pemancing terakhir diperluas ke perairan Bagan Datuk
Pencarian pemancing terakhir diperluas ke perairan Bagan Datuk

KLANG, 19 SEPT: Sektor pencarian seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang di One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam di sini, memfokuskan radius 102 batu nautika persegi di perairan Perak, terutama di kawasan Bagan Datuk.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Leftenan Mohd Azlee Zainal berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keenam diteruskan pihaknya bersama dengan beberapa agensi keselamatan bermula 7 pagi tadi.

Beliau berkata usaha pencarian meliputi sektor laut dengan menggunakan dua aset, iaitu sebuah Kapal Maritim (KM) Tugau dan bot peronda RH33 Pasukan Polis Marin (PPM).

"Operasi tertumpu di perairan Perak, terutama kawasan Bagan Datuk, iaitu kira-kira 10 batu nautika persegi dari lokasi penemuan dua mayat pemancing sebelum ini.

"Setakat 1 tengah hari tadi, mangsa terakhir belum ditemukan dan tiada petunjuk baharu diterima daripada pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sementa, di sini hari ini.

Tinjauan mendapati PHC itu masih dipenuhi puluhan ahli keluarga pemancing yang menunggu perkembangan lanjut berhubung operasi berkenaan.

Mohd Azlee berkata operasi itu mungkin berdepan dengan cabaran berikutan ramalan cuaca ribut petir hari ini, namun pencarian masih diteruskan dan dijangka ditangguhkan 7 malam ini.

Sementara itu, bapa saudara kepada seorang daripada mangsa Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, iaitu Khairul Muhidin, 47, berkata pihak keluarga telah memperoleh keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan identiti pemancing berkenaan, sekali gus membolehkan jenazah dituntut di Hospital Sungai Buloh bagi urusan pengebumian.

“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid An-Naim, Jalan Kebun bagi solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Barat, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, selepas Asar hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, polis mengesahkan mayat pemancing kedua dipercayai Muhammad Ridzuan ditemukan di perairan Hutan Melintang pada 4.26 petang, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol berkata penemuan terbaharu itu menjadikan enam daripada tujuh mangsa yang hilang telah ditemukan, setakat ini.

Empat mangsa dalam keadaan selamat, manakala dua meninggal dunia termasuk Mohd Shahril Abd Rahman, 43, yang mayatnya ditemukan di perairan Hutan Melintang pada 8.30 pagi Rabu lepas, manakala seorang lagi pemancing yang hilang, iaitu Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, belum dijumpai setakat ini.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.