SPR: Permohonan undi pos PRN Melaka dibuka hari ini

23 Sep 2026, 12:00 PM
SPR: Permohonan undi pos PRN Melaka dibuka hari ini
SPR: Permohonan undi pos PRN Melaka dibuka hari ini
SPR: Permohonan undi pos PRN Melaka dibuka hari ini

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dibuka hari ini untuk semua kategori.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata semua permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui portal MySPR di https://myspr.spr.gov.my, manakala tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak.

“Pemilih yang layak dan berhasrat mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan untuk mengundi secara pos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan itu melibatkan Kategori 1A yang merangkumi anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media.

Permohonan turut dibuka bagi Kategori 1B untuk warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C melibatkan agensi atau organisasi.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh menghubungi talian 03-88927080 atau menerusi e-mel upup@spr.gov.my.

Semalam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum turut menyerahkan notis pembubaran itu kepada SPR semalam.

Pada PRN Melaka ke-15 yang diadakan pada 20 November 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga, manakala Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

Penggal DUN Melaka sepatutnya berakhir 27 Disember ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.